
Jangan anggap kaki cepat lenguh, sakit ketika berjalan atau luka yang lambat sembuh sebagai perkara biasa, terutama bagi penghidap diabetes kerana ia mungkin petanda penyakit arteri periferi (PAD) yang boleh menyebabkan kehilangan anggota badan jika tidak dirawat awal.
Penyakit yang menjejaskan aliran darah ke bahagian kaki itu sering tidak disedari kerana gejalanya tidak begitu ketara, malah ada pesakit menganggap perubahan yang berlaku sekadar kesan penuaan atau komplikasi biasa akibat diabetes.
Dianggarkan ehingga 50 peratus penghidap PAD mungkin tidak mengalami sebarang gejala jelas pada peringkat awal meskipun aliran darah mereka sudah terjejas.
Sempena Hari Diabetes Sedunia, Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr. Tan Kia Lean berkata, pengurusan diabetes tidak seharusnya tertumpu kepada kawalan paras gula dalam darah semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pemeriksaan kesihatan salur darah.

“Kawalan gula sahaja semasa pemeriksaan rutin sebenarnya tidak mencukupi. Selain ujian darah untuk menilai fungsi pelbagai organ dan mengawal paras gula, pemeriksaan mata, deria dan vaskular sememangnya penting untuk pengesanan awal kerosakan organ,” katanya kepada Ceritera.
PAD berlaku apabila arteri yang membekalkan darah ke anggota badan, terutama kaki, menjadi sempit atau tersumbat sehingga mengurangkan aliran darah.
Keadaan itu boleh berlaku apabila paras gula dalam darah yang tinggi atau tidak terkawal dalam tempoh lama menyebabkan kerosakan salur darah, sekali gus meningkatkan risiko keradangan, pengerasan dan penyempitan arteri.
Menurut Dr. Kia Lean, risiko PAD turut meningkat mengikut tempoh seseorang menghidap diabetes, selain dipengaruhi faktor lain seperti sejarah penyakit jantung, strok, merokok, penyakit buah pinggang tahap akhir dan obesiti.
Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah sakit, kekejangan atau rasa tegang pada kaki selepas berjalan dalam jarak tertentu, tetapi keadaan itu biasanya berkurangan selepas berehat.
“Klaudikasi selangan merujuk kepada rasa tidak selesa, tegang atau sakit pada bahagian kaki selepas berjalan dalam jarak tertentu yang lazimnya berkurangan selepas berehat. Ia merupakan salah satu gejala awal PAD yang biasa,” jelasnya.
Tanda lain termasuk kaki terasa sejuk, bulu kaki semakin berkurangan, kuku kaki rapuh serta luka yang mengambil masa lama untuk sembuh.
Jika keadaan semakin serius, pesakit boleh mengalami kesakitan pada kaki walaupun ketika berehat, malah berisiko mengalami gangren atau kematian tisu.
NEUROPATI BOLEH SEMBUNYIKAN PAD
Dr. Kia Lean berkata, pengesanan PAD menjadi lebih mencabar apabila pesakit turut mengalami neuropati diabetes, iaitu kerosakan saraf yang menyebabkan kebas, kesemutan dan kehilangan deria rasa, terutama pada jari serta kaki.
Katanya, kedua-dua keadaan itu boleh berlaku serentak, menyebabkan pesakit tidak menyedari kecederaan atau luka pada kaki kerana deria rasa mereka sudah berkurangan.
“Walaupun PAD menjejaskan peredaran darah manakala neuropati pula memberi kesan pada saraf, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak.
“Pesakit mungkin tidak menyedari kecederaan yang dialami, sedangkan luka berkenaan lebih sukar sembuh apabila peredaran darah lemah,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan denyutan nadi pada kaki juga boleh membantu doktor mengesan kemungkinan masalah peredaran darah walaupun pesakit tidak mengadu sakit.
Justeru, ketiadaan rasa sakit tidak semestinya bermakna kaki seseorang penghidap diabetes berada dalam keadaan baik.
PEMERIKSAAN AWAL ELAK KOMPLIKASI
Bagi mengenal pasti PAD, doktor lazimnya akan meneliti sejarah perubatan dan gejala pesakit sebelum melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk memeriksa denyutan nadi pada kaki.
Antara ujian yang boleh dilakukan ialah indeks pergelangan kaki-lengan (ABI), iaitu pemeriksaan yang membandingkan tekanan darah pada buku lali dengan lengan bagi menilai aliran darah ke kaki.
Jika memerlukan pemeriksaan lanjut, doktor boleh menjalankan ultrabunyi duplex untuk mengenal pasti arteri yang sempit atau tersumbat, selain angiogram CT bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai salur darah.

Dr. Kia Lean berkata, diagnosis PAD tidak bermakna seseorang pesakit perlu kehilangan kaki atau menjalani amputasi kerana rawatan bergantung kepada tahap penyakit, lokasi salur darah tersumbat serta keadaan kesihatan pesakit.
Pada peringkat awal, rawatan boleh melibatkan perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, melakukan senaman, mengambil ubat-ubatan tertentu serta memastikan diabetes dan faktor risiko lain dikawal dengan baik.
Namun, jika aliran darah semakin terhad, luka boleh menjadi sukar sembuh dan meningkatkan risiko jangkitan, kerosakan tisu serta kehilangan anggota badan.
Beliau berkata, terdapat pesakit yang hanya mendapatkan pemeriksaan pakar vaskular selepas pelbagai usaha merawat luka gagal, malah ada yang dirujuk apabila amputasi sudah mula dicadangkan.
Pada tahap itu, kerosakan tisu atau jangkitan mungkin sudah berlaku sehingga pesakit perlu menjalani rawatan untuk menstabilkan keadaan sebelum prosedur memulihkan aliran darah dilakukan.
Malah, selepas aliran darah berjaya dipulihkan, proses penyembuhan luka masih boleh mengambil masa berbulan-bulan, terutama jika terdapat tisu rosak atau dijangkiti yang perlu dibuang.
RAWATAN SEMAKIN BERKEMBANG
Dalam perkembangan rawatan PAD, kemajuan teknologi endovaskular kini memberi lebih banyak pilihan kepada doktor untuk membuka salur darah yang sempit atau tersumbat tanpa perlu melakukan pembedahan terbuka secara konvensional.
Prosedur invasif minimum itu dilakukan melalui tusukan kecil bagi membolehkan doktor mengakses salur darah yang terjejas.
Selain angioplasti belon untuk melebarkan arteri yang sempit, teknologi semasa turut membolehkan doktor membuang darah beku, menangani plak yang menyekat salur darah serta mendapatkan imej lebih terperinci dari dalam arteri.
Antara teknologi digunakan termasuk peranti trombektomi untuk membuang darah beku, aterektomi bagi membuang atau mengubah suai plak serta ultrabunyi intravaskular (IVUS) untuk membantu doktor menilai keadaan salur darah.
Belon bersalut ubat dan stent yang membebaskan ubat juga boleh digunakan bagi pesakit terpilih untuk membantu mengurangkan risiko arteri menyempit semula.
Namun, Dr. Kia Lean berkata, tiada satu kaedah rawatan yang sesuai untuk semua pesakit kerana pendekatan perlu disesuaikan mengikut tahap penyakit dan keadaan kesihatan masing-masing.
Bagi pesakit yang mengalami luka, rawatan bukan sekadar memulihkan aliran darah, sebaliknya perlu disertai kawalan jangkitan, pembuangan tisu yang rosak serta penjagaan luka secara berterusan.
JANGAN TUNGGU HINGGA SUKAR BERJALAN
Menurut beliau, pengesanan dan rawatan awal bukan sahaja penting untuk mengelakkan amputasi, malah membantu pesakit mengurangkan kesakitan ketika berjalan dan mengekalkan keupayaan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Selain mengelakkan kehilangan anggota badan, rawatan awal PAD dapat meredakan sakit semasa berjalan pada jarak dekat dan membolehkan pesakit berjalan seperti biasa,” katanya.
Dr. Kia Lean turut mengingatkan penghidap diabetes, khususnya golongan dewasa berusia, supaya tidak menganggap kesakitan atau kelemahan pada kaki sebagai perkara biasa akibat penyakit itu atau faktor usia.
“Pemeriksaan arteri periferi secara berkala dan saringan awal boleh membantu mencegah komplikasi serta membolehkan pesakit terus bergerak dan menikmati kualiti hidup yang baik,” katanya.
Justeru, penghidap diabetes yang kerap mengalami ketidakselesaan pada kaki, perubahan fizikal atau luka lambat sembuh disaran mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengesan PAD lebih awal sebelum keadaan menjadi semakin serius.




