
KUALA LUMPUR: Gara-gara lantai tandas licin, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala selepas terjatuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
Menerusi perkongsian di Facebook, Jamawi berkata, beliau tergelincir akibat keadaan lantai yang licin sebelum kepalanya terhantuk pada lantai.
“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya.
Kejadian itu turut menarik perhatian beberapa kenalannya yang terserempak dengan beliau di lapangan terbang dalam keadaan kepala berbalut tuala berdarah.
Menurut Jamawi, beberapa kenalan menghubunginya selepas itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat di Menara Medical Clinics KLIA yang memberikan rawatan segera, termasuk menjahit luka di kepalanya.
Dalam pada itu, Jamawi berharap pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil perhatian terhadap kejadian berkenaan dengan menambah baik keadaan lantai tandas serta laluan kecemasan ke klinik berhampiran.
Katanya, kakitangan lapangan terbang juga perlu diberikan latihan sewajarnya supaya bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan pantas sekiranya berlaku insiden seumpama itu.
Jamawi dijadualkan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada pukul 1.05 tengah hari selepas selesai mengadakan lawatan kerja di Brasilia, Brazil.






