
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke Bali atau pelancong Australia yang mahu ke Kuala Lumpur kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila syarikat penerbangan Indonesia, TransNusa memperkenalkan laluan terus Bali-Kuala Lumpur bermula 10 Disember ini.
Penerbangan baharu itu akan beroperasi empat kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Khamis, Jumaat dan Ahad dengan tambang promosi pelancaran bermula serendah AS$83 (RM342).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, laluan itu turut membuka kemudahan perjalanan kepada penumpang dari Melbourne dan Perth, Australia, ke Kuala Lumpur menerusi Bali menggunakan satu syarikat penerbangan, termasuk tempahan tiket tunggal dan bagasi yang didaftar terus ke destinasi akhir.
Katanya, Australia merupakan antara pasaran pertumbuhan komersial utama syarikat itu dan pengenalan laluan berkenaan dijangka memberikan lebih banyak pilihan serta fleksibiliti kepada penumpang.
“Australia adalah pasaran pertumbuhan komersial utama bagi TransNusa dan pelancaran laluan ini memberikan pilihan penerbangan yang lebih lancar dan boleh dipercayai kepada penumpang dari Melbourne dan Perth untuk ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, laluan itu juga membolehkan penumpang menggabungkan percutian di Bali dengan lawatan ke Malaysia, selain meneruskan perjalanan dari Kuala Lumpur ke destinasi lain di Eropah, Asia Barat dan Asia.
Malah, penumpang juga boleh meneruskan perjalanan ke enam destinasi domestik Indonesia dari Denpasar, iaitu Lombok, Wakatobi, Bima, Surabaya, Waingapu dan Manado menerusi rangkaian penerbangan TransNusa.
“Dengan mengintegrasikan rangkaian penerbangan kami di Malaysia dan Indonesia secara langsung dengan destinasi di Australia, kami memberikan kebebasan kepada penumpang untuk bergerak antara Australia, Bali, Malaysia dan kepulauan Indonesia menggunakan satu syarikat penerbangan,” katanya.
Laluan Bali-Kuala Lumpur itu merupakan laluan antarabangsa ketiga yang diperkenalkan TransNusa dari hab Denpasar tahun ini selepas penerbangan terus ke Phuket pada September dan Melbourne pada Oktober lalu.
Ia turut melengkapkan operasi sedia ada syarikat berkenaan di Malaysia, termasuk laluan Jakarta-Kuala Lumpur, Subang dan Pulau Pinang serta Lampung-Kuala Lumpur, selain kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi mempromosikan destinasi seperti Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi.
Bagi kemudahan penumpang, TransNusa menawarkan bagasi daftar masuk percuma sekurang-kurangnya 20 kilogram bagi semua kategori tambang serta tujuh kilogram bagasi kabin.







