
KUALA LUMPUR: Penganjuran sulung pertandingan U-STAR Talent IPT 2026 peringkat Kebangsaan mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menghimpunkan 10 kumpulan berbakat daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Program anjuran Bahagian Kebudayaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kelab Warisan UTHM itu bertujuan menyediakan platform untuk mencungkil, mengembangkan serta memartabatkan bakat seni persembahan dalam kalangan mahasiswa.
Dalam kenyataan PSKU UTHM, sebanyak enam kategori dipertandingkan, merangkumi band muzik moden, band muzik tradisional, tarian tradisional, nyanyian solo lagu moden, nyanyian solo lagu tradisional dan nyanyian duet.
“Kesemua peserta mempamerkan keupayaan serta kreativiti masing-masing dalam persaingan yang menyaksikan kepelbagaian bakat seni dan persembahan mahasiswa daripada institusi berbeza,” kata kenyataan itu.

U-STAR Talent IPT 2026 peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan D9, Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh, Johor telah dirasmikan Provos UTHM Kampus Pagoh, Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman.
Hadir sama ialah Pengarah UTHM Kampus Pagoh, Mohd Faisalluddin Abdul Aziz; Ketua Bahagian Kebudayaan PSKU UTHM, Rosdi Abdullah serta pegawai pengiring daripada institusi yang mengambil bahagian.

Kemuncak acara turut diserikan dengan penampilan khas Juara TVET Got Talent Kebangsaan 2025, Wan Hariz Zikry Wan Ahmad.
Menurut kenyataan itu, Kumpulan Tompinz dari UTHM Kampus Pagoh dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua menjadi milik Anis Farhana Mohd Alias dengan iringan Muhammad Irsyad Ilmi Rosli dari UTHM Kampus Parit Raja.
“Kumpulan Project 26 (UTHM Kampus Pagoh) menduduki tempat ketiga dan Art of Sound (UTHM Kampus Parit Raja) meraih tempat keempat dan wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat kelima.
“Lima lagi kumpulan dari ADTEC Batu Pahat, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Kolej Vokasional Pagoh dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima hadiah saguhati,” katanya.

PSKU UTHM menambah, kejayaan penganjuran edisi sulung itu bukan sahaja membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat seni dan kreativiti.
Katanya, ia dapat memperkukuh hubungan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga IPT di peringkat kebangsaan.







