
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru orang ramai supaya segera mengemas kini maklumat profil masing-masing, khususnya alamat kediaman, alamat e-mel dan nombor telefon bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan digital jabatan itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, pengemaskinian maklumat berkenaan merupakan ketetapan jabatan sebagai persediaan menghadapi pengenalan serta peluasan ciri dan fungsi baharu perkhidmatan digital JPJ.
“Maklumat profil yang sah, tepat dan terkini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendigitalan dapat dilaksanakan dengan lancar, selain memudahkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan JPJ.
“Ia adalah selaras dengan ketetapan jabatan yang mewajibkan pengemaskinian maklumat berkenaan bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan digital JPJ.
“Langkah ini merupakan persediaan ke arah pengenalan serta peluasan ciri dan fungsi baharu perkhidmatan digital JPJ bagi meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengguna,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menjelaskan, maklumat profil yang sah, tepat dan terkini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendigitalan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, ia sekali gus membolehkan orang awam mengakses pelbagai perkhidmatan JPJ dengan lebih mudah, pantas dan selamat, hanya di hujung jari.
“JPJ komited memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna, sekali gus memastikan transformasi digital jabatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Orang ramai boleh mengemas kini maklumat profil menerusi aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ atau dengan hadir ke mana-mana kaunter JPJ berhampiran,” katanya.
Aedy Fadly menambah, JPJ turut menyediakan panduan pengemaskinian maklumat profil bagi membantu pengguna melaksanakan proses berkenaan dengan mudah dan teratur.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai disaran mengambil tindakan segera memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika menggunakan perkhidmatan digital JPJ, khususnya apabila ciri dan fungsi baharu diperkenalkan kelak.







