
KETIKA bencana melanda, setiap saat amat berharga. Dalam situasi banjir, tanah runtuh atau cuaca buruk, kelewatan menerima maklumat boleh mengundang risiko lebih besar.
Justeru, MySiren yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil sebagai Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) berasaskan teknologi penyiaran selular, membolehkan maklumat penting disampaikan terus ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas tanpa memerlukan sambungan Internet.
Bayangkan situasi apabila hujan lebat berterusan sejak beberapa jam lalu, paras sungai semakin meningkat dan pihak berkuasa mengesan kemungkinan banjir berlaku di kawasan penempatan berhampiran.
Dalam keadaan itu, persoalan paling penting bukan sekadar sejauh mana seriusnya ancaman, tetapi berapa cepat penduduk dapat mengetahui perkara berkenaan dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri.
Ada yang mungkin sedang bekerja, berada di jalan raya, berehat di rumah atau langsung tidak menyedari perubahan situasi di sekeliling mereka.
Tanpa maklumat yang tepat, tindakan menyelamatkan diri boleh menjadi lebih sukar.
Di sinilah teknologi memainkan peranan penting.
Menerusi MySiren, MCMC memperkenalkan pendekatan penyampaian amaran kecemasan yang lebih pantas dan bersasar, dengan maklumat disalurkan terus kepada telefon bimbit yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti berdepan ancaman.
Bukan sekadar satu lagi sistem pemberitahuan digital, MySiren membawa pendekatan komunikasi yang meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan, khususnya ketika berhadapan situasi yang memerlukan tindakan segera.

Amaran sampai tanpa perlu menunggu
Antara kelebihan utama MySiren ialah keupayaan menyampaikan amaran mengikut lokasi.
Maklumat kecemasan boleh disasarkan kepada telefon bimbit dalam kawasan tertentu yang dikenal pasti terjejas, sekali gus membantu memastikan penduduk di kawasan berisiko mendapat maklumat berkaitan situasi yang sedang berlaku.
Daripada ancaman banjir, cuaca buruk dan tanah runtuh hinggalah kecemasan lain, penyampaian maklumat yang pantas membolehkan orang ramai memahami risiko serta mengambil langkah bersesuaian.
Dalam konteks pengurusan bencana, maklumat awal bukan perkara kecil. Ia boleh menjadi perbezaan antara sempat berpindah ke tempat selamat dengan terperangkap dalam keadaan yang semakin berbahaya.
Lebih penting, amaran yang diterima secara langsung membolehkan masyarakat membuat keputusan berdasarkan maklumat, bukannya bergantung semata-mata kepada khabar angin atau perkongsian tidak disahkan di media sosial.

Teknologi Cell Broadcast System (CBS)
Keupayaan MySiren disokong teknologi Cell Broadcast System (CBS) merupakan sistem penyiaran mesej melalui rangkaian telekomunikasi mudah alih kepada peranti yang berada dalam kawasan geografi ditetapkan.
Berbeza dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) konvensional yang menghantar mesej kepada nombor telefon secara individu, CBS membolehkan satu amaran disiarkan secara serentak kepada pelbagai telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan sasaran.
Pendekatan tersebut menjadikan penyampaian maklumat lebih praktikal, terutama apabila amaran perlu disampaikan kepada sejumlah besar penduduk dalam tempoh singkat.
Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan berdepan ancaman banjir kilat, teknologi CBS membolehkan amaran disiarkan kepada peranti yang berada dalam kawasan berkenaan melalui rangkaian mudah alih.
Keupayaan ini amat signifikan ketika kecemasan kerana setiap minit yang diperoleh boleh membantu orang ramai membuat persediaan lebih awal.
Tiada keperluan sambungan internet
Satu lagi kelebihan MySiren ialah sistem ini tidak memerlukan sambungan Internet atau penggunaan data mudah alih untuk menerima amaran.
Sebaliknya, ia menggunakan rangkaian mudah alih 4G (LTE) dan 5G sedia ada bagi menyampaikan maklumat kecemasan kepada peranti yang serasi.
Perkara ini penting kerana ketika bencana berlaku, sambungan Internet mungkin terganggu atau sukar diakses, terutama apabila berlaku gangguan bekalan elektrik, kesesakan rangkaian atau kerosakan infrastruktur komunikasi.
Dengan tidak bergantung kepada sambungan Internet, MySiren menawarkan satu lagi saluran penyampaian maklumat yang boleh membantu meningkatkan capaian amaran kecemasan.
Bagaimanapun, penerimaan amaran masih bergantung pada keserasian peranti serta ketersediaan liputan rangkaian mudah alih di kawasan berkenaan.

Kepentingan kesiapsiagaan
Keberkesanan pengurusan bencana bukan hanya bergantung pada keupayaan pasukan penyelamat atau kelengkapan operasi di lapangan.
Tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat turut menjadi faktor penting dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Dalam hal ini, MySiren menawarkan empat manfaat utama, iaitu amaran awal, penyampaian maklumat mengikut lokasi, maklumat yang jelas untuk tindakan serta peningkatan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Keempat-empat elemen ini saling melengkapi dalam membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap ancaman persekitaran.
Namun, teknologi hanya berkesan apabila maklumat yang diterima diberikan perhatian dan diterjemahkan kepada tindakan.
Amaran yang muncul pada skrin telefon tidak seharusnya dianggap sekadar pemberitahuan biasa, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan arahan dan panduan keselamatan yang disampaikan.
Orang ramai juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan daripada agensi berkaitan serta mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila melibatkan pemindahan atau langkah perlindungan diri.

Pastikan kemas kini telefon bimbit
Walaupun MySiren direka untuk menyampaikan amaran kepada telefon bimbit, tidak semua peranti secara automatik boleh menerima pemberitahuan berkenaan.
Pengguna perlu memastikan peranti masing-masing menyokong versi sistem pengendalian yang ditetapkan.
Justeru, pengguna disaran menyemak versi sistem pengendalian telefon masing-masing dan memastikan peranti sentiasa dikemas kini bagi menyokong penerimaan amaran.
Setiap saat bermakna
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital, telefon bimbit bukan lagi sekadar alat komunikasi, malah berpotensi menjadi saluran penting untuk melindungi nyawa.
MySiren memperlihatkan bagaimana infrastruktur telekomunikasi sedia ada boleh dimanfaatkan melangkaui urusan komunikasi harian, dengan membawa maklumat kecemasan lebih dekat kepada masyarakat.
Ketika bencana tidak mengenal waktu dan boleh berlaku tanpa diduga, keupayaan menerima amaran tepat pada masa dan lokasi menjadi satu keperluan, bukannya kemudahan tambahan.
Kerana dalam situasi kecemasan, mungkin hanya beberapa minit membezakan antara bahaya dengan keselamatan.
Dan adakalanya, satu amaran yang tiba tepat pada waktunya mampu memberikan peluang kedua untuk seseorang menyelamatkan nyawa.






