
SUNGAI BULOH: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan cedera parah pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar yang memasuki kediamannya di Kampung Paya Jaras Tengah, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian pukul 8.18 malam itu, ibu mangsa berada di dapur manakala bayi berkenaan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ibu mangsa terdengar jeritan sebelum mendapati seekor monyet berada berhampiran bayinya.
Menurutnya, haiwan liar itu dipercayai memasuki rumah berkenaan melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri menggunakan laluan sama.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.44 malam.
Katanya, laporan berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Orang ramai turut diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.







