
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada umum.
Sebaliknya, beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC) menyebarkan dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia itu.
Menurut Anwar, tindakan AGC hanya membabitkan penyahklasifikasian sebahagian dokumen berkaitan Najib bagi tujuan persediaan menghadapi prosiding mahkamah.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab menyebarkan dokumen berkenaan perlu disiasat dan bukannya menuduh kerajaan melakukan perbuatan terbabit.
“Jadi siapa (menyebarkan dokumen terbabit) patut disiasat, jangan buat tohmahan mengatakan kerajaan edarkan.
“Tidak ada. Tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara untuk mempersiapkan kes jawapan di mahkamah, itu sahaja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli meminta penjelasan berhubung dakwaan kerajaan menyahklasifikasikan dokumen pengampunan bersyarat Najib sebelum mendedahkannya kepada umum.





