
KUALA LUMPUR: Kerajaam sasar sebanyak 500,000 rumah mampu milik dibina menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ia sebagai sebahagian daripada sasaran lebih besar menyediakan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penekanan terhadap penyediaan kediaman mampu milik itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kemajuan industri pembinaan.
Katanya, ia bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi sebaliknya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat khususnya golongan yang memerlukan kediaman sendiri.
“Pembangunan sektor pembinaan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar selain memberi keutamaan kepada mutu bahan binaan serta reka bentuk bangunan yang menarik dan mencerminkan identiti setempat.
“Pembangunan yang mengabaikan aspek berkenaan hanya akan menghasilkan persekitaran yang dipenuhi hutan konkrit, sekali gus menjejaskan kelestarian alam, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran Facebook selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pagi tadi.
Anwar turut menyambut baik usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meneroka penggunaan teknologi cetakan konkrit tiga dimensi (3D) dalam industri pembinaan.
Katanya, kerjasama strategik dengan pemain industri perlu dimanfaatkan bagi memperluas pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta menyediakan latihan kepada tenaga kerja dan kontraktor tempatan.
“Penguasaan teknologi baharu tersebut penting bagi memastikan pemain industri tempatan bukan sahaja mampu menggunakannya malah berupaya membangunkan teknologi berkenaan secara sendiri mengikut keperluan dan kepentingan negara.
” Saya mahu mereka menguasai teknologi ini dan berupaya membangunkannya sendiri mengikut keperluan negara, Insya-Allah,” katanya.





