
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan diskaun itu akan bermula pada jam 12 tengah malam, 6 November ini (Jumaat) dan berakhir pada jam 11:59:59 malam, 7 November (Sabtu).
Menurutnya, pemberian diskaun tol itu dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, yang akan ditanggung oleh Kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik.
Jelasnya, inisiatif ini melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun dikecualikan di plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).
“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan, di samping memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus memaknai semangat perayaan melalui hubungan kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan pemberian diskaun ini bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan serta manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang layak.
Katanya, semua pengguna lebuh raya disarankan supaya memanfaatkan pemberian diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat antara kenderaan serta berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
“Selain itu, pengguna digalakkan menyemak maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih teratur.
“Kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mengamalkan pemanduan berhemah amat penting bagi memastikan perjalanan sepanjang musim perayaan ini berjalan lancar, selamat dan selesa,” katanya.






