
MELAKA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuh perlindungan kawasan pesisir pantai, kesiapsiagaan menghadapi banjir serta jaminan bekalan air di Melaka menerusi pelaksanaan tiga projek infrastruktur air bernilai keseluruhan RM535.36 juta.
Inisiatif menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia itu merangkumi dua projek menaik taraf benteng pantai bernilai RM5.90 juta yang sudah siap lebih awal daripada jadual serta projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM529.46 juta.
Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kedua-dua projek perlindungan pantai berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka selepas berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
“Projek menaik taraf benteng pantai bagi mengatasi fenomena air pasang besar di Tanjung Bidara, Alor Gajah, bernilai RM3.19 juta disiapkan 113 hari lebih awal, manakala projek di Taman Alai Perdana, Melaka Tengah, bernilai RM2.71 juta siap 19 hari lebih awal.
“Struktur perlindungan pantai sepanjang 510 meter di Taman Alai Perdana itu dijangka membantu mengurangkan risiko hakisan dan banjir pantai sekali gus melindungi kira-kira 200 rumah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Penyerahan projek itu dizahirkan menerusi lawatan kerja Abdul Rahman ke Melaka yang turut memberi tumpuan kepada tahap kesiapsiagaan aset JPS dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Bagi memastikan operasi pengurusan banjir berjalan lancar, sebanyak 14 pam bergerak disediakan, membabitkan 11 unit milik Kerajaan Persekutuan dan tiga unit milik Kerajaan Negeri, selain 21 rumah pam banjir bagi menyokong operasi di kawasan berisiko.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau perkembangan Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM529.46 juta yang dijadualkan siap pada 20 Februari 2030.

Beliau menjelaskan, projek berkonsepkan kolam dwi-fungsi itu bukan sahaja dirancang untuk mengurangkan risiko banjir sehingga kala ulangan 50 tahun (50 ARI), malah berperanan sebagai sumber bekalan air mentah sehingga 30 hari ketika kemarau melampau.
Katanya, sistem berkenaan direka untuk menyalurkan sehingga 220 juta liter air sehari ke Empangan Durian Tunggal ketika aliran biasa atau tinggi, manakala sehingga 150 juta liter sehari ke Bunded Storage 1 ketika aliran rendah bagi menyokong bekalan ke Loji Rawatan Air Bertam.
“Setakat 20 Oktober 2026, kemajuan fizikal projek berkenaan mencapai 57.05 peratus, selaras dengan jadual pelaksanaan yang ditetapkan iaitu 57 peratus.
“Pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif itu mencerminkan pendekatan PETRA dalam memperkukuh daya tahan infrastruktur air negeri, bukan sahaja bagi menangani ancaman banjir dan hakisan pantai, malah memastikan kelangsungan sumber bekalan air ketika berdepan perubahan cuaca ekstrem,” katanya.
PETRA melalui JPS akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan penyelenggaraan infrastruktur air bagi melindungi keselamatan rakyat serta menyokong kesinambungan bekalan air negara.





