
KUALA LUMPUR: Selangor FC mengemukakan laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden kekecohan ketika menentang Kuching City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada Ahad lepas bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kenyataan di laman Facebook, kelab bola sepak itu menegaskan
komitmen untuk mempertahankan hak dan menjamin keselamatan pemain serta pegawainya dalam apa jua keadaan.
“”Selangor FC berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi serta akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak FAM.
“Ia bagi memastikan proses siasatan yang adil dan saksama dapat dijalankan berhubung perkara ini demi memelihara martabat bola sepak tanah air,” tegas Selangor FC.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu dicemari dengan insiden kekecohan antara pegawai dan pemain kedua-dua pasukan di bangku simpanan pada penghujung masa tambahan.
Dalam pada itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata, semua laporan dan bukti berhubung insiden membabitkan pemain serta pegawai kedua-dua pasukan pada perlawanan di Stadium Taha Ariffin, Kuching diserahkan kepada FAM untuk penelitian dan tindakan lanjut menerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.
Menurut MFL, laporan itu merangkumi maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan dan penilai pengadil.
MFL turut meneliti tindakan susulan berdasarkan peraturan serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya, dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati mencetuskan kekecohan atau melakukan perbuatan tidak wajar.







