
LONDON: Kapten England, Harry Kane terus mengukuhkan status sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak negara itu apabila sekali lagi mencuri tumpuan menerusi pencapaian luar biasa ketika berdepan Croatia.
Walaupun England tidak mempamerkan aksi terbaik seperti ketika membelasah Croatia 7-0 pada pertembungan terdahulu.
Keputusan menewaskan Croatia 2-1 di Stadium Wembley sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir Liga Negara-Negara itu bukan perkara utama yang menjadi perhatian penyokong.
Sebaliknya, malam berkenaan menjadi pentas buat Kane yang meraikan penampilan ke-126 menyarung jersi England menerima pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan dan pencapaian yang terus mengangkat namanya dalam sejarah The Three Lions.
Pengendali England, Thomas Tuchel sebelum perlawanan sudah memberi peringatan supaya penyokong tidak mengharapkan persembahan sehebat pertemuan terdahulu dan ramalan pengendali dari Jerman itu ternyata tepat apabila England bergelut untuk menemukan rentak permainan.

Bagaimanapun, Kane tetap membuktikan dia merupakan ayam tambatan kepada pasukan England menerusi sumbangan lebih daripada sekadar menjaringkan gol.
Penyerang berpengalaman itu beberapa kali turun ke bahagian tengah untuk membantu menjadi arkitek serangan, sekali gus memperlihatkan kematangan permainan kapten itu serta kemampuan menghasilkan hantaran berkualiti yang membuka ruang kepada rakan sepasukan.
Keupayaan beraksi sebagai penyerang yang turut berperanan sebagai penggerak serangan menjadikan Kane antara aset paling penting dalam perancangan taktikal England.
Lebih menarik, sepakan penalti yang disempurnakan Kane pada perlawanan itu menyaksikan dia semakin hampir mencapai satu lagi pencapaian bersejarah apabila hanya memerlukan lapan gol untuk mencecah 100 jaringan bersama England.
Jumlah itu juga meletakkan Kane 39 gol di hadapan pemain lain dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman England.
Satu jurang yang cukup menggambarkan dominasi dan konsistensinya di pentas antarabangsa.

Walaupun bakal berusia 35 tahun ketika Kejohanan Eropah 2028 berlangsung, ketajaman Kane di hadapan gawang lawan masih belum menunjukkan tanda-tanda merosot.
Pengalaman, disiplin dan naluri penyudah yang dimilikinya terus memberikan England kelebihan untuk memburu kejuaraan utama yang sekian lama dinantikan.
Bagi England, Kane bukan sekadar kapten atau penjaring gol prolifik.
Dia kini menjadi simbol harapan sebuah pasukan yang masih dahagakan kejayaan di pentas antarabangsa.
Jika prestasinya mampu dikekalkan sehingga 2028, tidak mustahil Kane menjadi watak paling penting dalam usaha England menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi utama. – AGENSI







