
KUALA LUMPUR: Penyerang kelahiran Argentina yang pernah mewakili skuad kebangsaan, Rodrigo Holgado, dijangka menyertai kelab Liga Super, DPMM FC, selepas mendapat kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Holgado, yang kini berstatus ejen bebas, dilaporkan boleh didaftarkan serta-merta tanpa perlu menunggu jendela perpindahan pemain sekali gus membuka laluan kepada DPMM FC untuk melengkapkan urusan mendapatkan khidmat penyerang berkenaan dalam masa terdekat.
Pemain berusia 30 tahun itu memiliki rekod jaringan yang agak mengagumkan ketika beraksi di Amerika Selatan apabila meledak 16 gol bersama kelab Chile, Coquimbo Unido, pada musim 2023.
Prestasi berkenaan menyaksikan beliau berhijrah ke kelab Colombia, América de Cali, sebelum mencatatkan 17 gol sepanjang tempoh 2024 hingga 2026.
Bagaimanapun, perjalanan karier Holgado sebelum ini terjejas susulan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes pemalsuan dokumen kelayakan pemain membabitkan skuad kebangsaan Malaysia.
Beliau merupakan antara lapan pemain yang dikenakan tindakan disiplin FIFA dalam kes berkenaan.
Difahamkan, tempoh penggantungan kesemua tujuh pemain lain turut berakhir pada 31 Oktober lalu membolehkan mereka kembali meneruskan karier profesional masing-masing tertakluk kepada kelulusan pendaftaran dan syarat pertandingan.
DPMM FC melalui laman rasminya berkata, MFL telah memberi lampu hijau untuk mengikat khidmat Holgado memandangkan statusnya sebagai pemain tanpa kontrak, dengan rundingan dan proses menandatangani perjanjian dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
Namun, persoalan utama yang bakal menjadi perhatian ialah tahap kecergasan dan kesediaan fizikal Holgado untuk kembali beraksi pada tahap kompetitif selepas hampir setahun tidak menyertai sebarang pertandingan.
Sekiranya berjaya menyelesaikan proses perpindahan itu, kehadiran Holgado dijangka memberikan tambahan kekuatan kepada jentera serangan DPMM FC, khususnya berdasarkan pengalaman dan rekod jaringan yang pernah dicatatkannya di pentas bola sepak Amerika Selatan.
Kini, sejauh mana penyerang itu mampu mengembalikan sentuhan penyudahnya selepas tempoh panjang tanpa aksi kompetitif menjadi sesuatu yang menarik untuk dinantikan.






