
KUALA LUMPUR: Anggota polis di lapangan diingatkan supaya tidak teragak-agak mengambil tindakan mempertahankan diri apabila berdepan ancaman keselamatan ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia, memahami situasi sekeliling serta mampu bertindak pantas apabila berhadapan sebarang risiko.
Beliau berkata, kesiapsiagaan itu penting bagi mengelakkan kejadian seperti serangan terhadap anggota polis di Gombak yang menyebabkan seorang anggota kehilangan pergelangan tangan kanan akibat ditetak, daripada berulang.
“Saranan saya kepada semua elemen (polis Kuala Lumpur) yang ada di lapangan, saya tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Gombak, berlaku terhadap anggota saya yang bertugas di ‘barisan hadapan’ (frontliner).
“Jadi pastikan mesti ‘ready’ (bersedia), mesti tahu situasi, keluarkan senjata api, pastikan sasaran, bersedia.
“Sekiranya ada apa-apa halangan, tembak. Ada apa-apa keraguan, tembak. Ada rasa kerisauan, ada ancaman, tembak. Jangan tunggu,” katanya dalam rakaman audio yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Polis Kuala Lumpur.
Terdahulu, seorang anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, petang semalam.
Suspek maut ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang ketika dikesan berhampiran taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 malam hingga 8 malam.
Anggota berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun itu kini dilaporkan stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).





