
SHAH ALAM: Semua kawasan rekreasi air terjun di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Negeri Selangor ditutup sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak susulan keadaan cuaca tidak menentu.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah keselamatan dan pencegahan risiko terhadap orang awam khususnya pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun.
“Sehubungan itu, orang ramai dilarang memasuki kawasan yang telah ditutup atau menjalankan sebarang aktiviti rekreasi sepanjang tempoh arahan berkenaan berkuat kuasa.
“Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan penutupan berkenaan,” kata jabatan itu melalui kenyataan di laman Facebook.
Katanya lagi, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak mengambil risiko dengan mengunjungi kawasan rekreasi air terjun yang terlibat.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, terutama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta menunggu pengumuman rasmi sebelum kembali mengunjungi kawasan rekreasi berkenaan,” katanya.






