
KUALA LUMPUR: Dua entiti yang disenaraikan di bawah Malaysia, iaitu Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd, antara tujuh entiti yang ditambah ke dalam Senarai Entiti Amerika Syarikat (US Entity List) oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata, penyenaraian itu dibuat menerusi peraturan muktamad yang dikeluarkan BIS pada 23 November 2026.
Menurut MITI, Speedmatrix Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte. Ltd yang diperbadankan di Singapura.
“Bagaimanapun, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), PT Megaspeed International bukan entiti yang beroperasi di Malaysia dan juga bukan pengendali atau penyewa pusat data di negara ini.
“Sehubungan itu, MIDA akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di Malaysia bagi memaklumkan mengenai penyenaraian berkenaan,” kata kenyataan itu.
MITI berkata, notis itu turut menasihatkan pengendali pusat data supaya tidak menjadi hos, menyewakan ruang atau menyediakan sebarang perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenaraikan berkenaan.
MITI menegaskan Malaysia kekal komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berlandaskan peraturan, selain tidak membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport.
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan.







