
KUALA LUMPUR: Pep Guardiola memberi bayangan bahawa tugas seterusnya dalam karier kejurulatihannya berkemungkinan besar membabitkan pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun itu belum menetapkan tempoh untuk kembali ke kancah bola sepak, sebaliknya mahu mengambil masa sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju kariernya.
Dalam satu temu bual bersama legenda bola sepak Brazil, Romario, Guardiola secara terbuka menyatakan hasrat untuk mencuba pengalaman mengendalikan skuad kebangsaan, sesuatu yang belum pernah dilakukannya sepanjang karier sebagai jurulatih.
Ketika ditanya mengenai pasukan yang belum pernah dikendalikannya tetapi ingin dibimbing, Guardiola menjawab: “Pasukan kebangsaan.”
Bahkan, beliau menyifatkan pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan sebagai langkah seterusnya dalam perjalanan kerjaya profesionalnya.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Guardiola mengambil alih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, terdapat laporan, Guardiola menjadi sasaran pasukan kebangsaan AS untuk mengisi jawatan ketua jurulatih selepas Mauricio Pochettino mengambil keputusan mengendali Manchester United.
Bagaimanapun, Guardiola pernah menolak peluang mengendalikan skuad kebangsaan Itali selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum Roberto Mancini dilantik mengisi jawatan berkenaan.
Guardiola mengakui tawaran itu satu penghormatan besar, namun ketika itu beliau berada pada fasa memerlukan rehat selepas bertahun-tahun mengharungi tekanan mengendalikan kelab elit Eropah.
“Saya berbincang dengan mereka dan ia satu penghormatan. Antara penghormatan terbesar dalam hidup saya apabila mereka mempertimbangkan saya untuk melatih Itali.
“Namun, peluang itu datang ketika saya perlu berhenti seketika. Jika ia berlaku setahun atau dua tahun lebih awal, mungkin saya akan menerimanya.
“Bagaimanapun, ketika Paolo Maldini dan Leonardo menghubungi saya, saya berada pada tahap yang benar-benar memerlukan rehat. Saya perlukan sedikit masa untuk diri sendiri,” katanya.
Guardiola meninggalkan Manchester City selepas berkhidmat selama sedekad, dengan reputasi sebagai antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak moden.
Sepanjang tempoh itu, beliau membentuk identiti permainan City yang dominan serta membawa kelab berkenaan mencapai pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan Eropah.
Sekiranya benar memilih laluan mengendalikan pasukan kebangsaan, ia bakal membuka lembaran baharu buat Guardiola yang sebelum ini mengukir kejayaan bersama Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City. – agensi







