
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperketat kawalan terhadap kemasukan produk import yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia bagi melindungi keselamatan pengguna serta memastikan pengeluar tempatan tidak berdepan persaingan tidak adil dalam pasaran domestik.
“Komitmen itu turut mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem industri negara dengan memastikan semua produk yang dipasarkan di Malaysia memenuhi standard kualiti dan keselamatan ditetapkan.
“Ketiadaan kawalan ketat terhadap kemasukan barangan menerusi e-dagang menyebabkan banyak produk dijual pada harga murah, namun tidak berkualiti.
“Selain menjejaskan hak pengguna, produk yang tidak mempunyai persijilan sah juga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko keselamatan dan berbahaya kepada orang ramai,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Perkara itu ditekankan pada Majlis SIRIM Industri 2026 yang diadakan semalam bagi meraikan pencapaian syarikat dan organisasi yang menunjukkan komitmen dalam meningkatkan piawaian, kualiti serta daya saing industri Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan industri negara tidak lagi boleh bergantung kepada kelebihan kos pengeluaran rendah semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada penghasilan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Johari menambah, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), keutamaan kerajaan adalah memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, mempercepat penerimagunaan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Usaha itu juga penting bagi memastikan lebih banyak nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam negara, sekali gus meningkatkan keupayaan industri tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada SIRIM QAS International atas pencapaian sebagai badan pensijilan kebangsaan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperoleh akreditasi AS9110 bagi organisasi penyelenggaraan penerbangan.
Beliau berkata, SIRIM perlu terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam transformasi industri negara, khususnya membantu memperkukuh keupayaan syarikat Malaysia untuk memenuhi piawaian antarabangsa dan menembusi pasaran global.







