
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan memanfaatkan dana levi berjumlah RM3 bilion bagi menyediakan peluang latihan kemahiran berkualiti kepada tenaga kerja tempatan.
Ia sebagai usaha memastikan mereka kekal relevan, produktif dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan.
Selain itu, beliau menambah, ia menjadi sebahagian daripada usaha lebih besar menerusi Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM8 bilion merentasi kementerian bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi HRD Corp akan terus memperluas akses kepada latihan berkualiti yang relevan dengan keperluan industri serta memenuhi kehendak semasa majikan dan pekerja.
“Justeru, KESUMA menerusi HRD Corp terus komited memperluas akses kepada latihan berkualiti yang relevan dengan industri serta memenuhi keperluan semasa majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala HRD Awards 2026 sempena sambutan Jubli Perak anugerah berkenaan di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, di sini, malam semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz.
Beliau menambah, KESUMA turut memperkenalkan inisiatif Progressive Acceleration for Capability and Employability (PACE) bernilai RM100 juta menerusi HRD Corp.
Katanya, inisiatif yang merangkumi 10 program strategik termasuk DIGITAL, BORNEO dan VETRI MADANI itu bertujuan memperluas akses kepada pembangunan kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja merentasi pelbagai komuniti dan sektor industri.
“Peningkatan kemahiran dan latihan semula atau reskilling kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan mendesak berikutan perubahan landskap pekerjaan yang dipacu kemajuan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
“Keberkesanan pembangunan sumber manusia tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah sijil atau pengiktirafan yang diterima semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui peningkatan keupayaan pekerja serta prestasi organisasi,” katanya.
Ramanan menjelaskan, impak sebenar latihan kemahiran dapat dilihat apabila peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah menunjukkan peningkatan keyakinan, prestasi kerja dan peluang perkembangan kerjaya.

Sementara itu, HRD Awards yang diperkenalkan pada 2001 kini memasuki edisi ke-25 sebagai platform mengiktiraf sumbangan majikan, penyedia latihan dan jurulatih dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja negara.
Sebanyak 53 anugerah disampaikan menerusi empat kategori utama iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), Anugerah HRD Corp (Emas), Anugerah HRD Corp (Perak) dan Anugerah HRD Corp (Gangsa).
Anugerah Menteri Sumber Manusia merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada organisasi dan individu atas pencapaian cemerlang dalam pembangunan tenaga kerja serta kecemerlangan latihan.
Pemilihan penerima anugerah dilaksanakan menerusi proses penilaian berperingkat dengan penglibatan panel juri terdiri daripada pakar luar, termasuk wakil persatuan majikan dan agensi kerajaan serta panel Jawatankuasa Eksekutif HRD Corp.
Penganjuran HRD Awards 2026 dengan sokongan KESUMA itu turut memperkukuh kepentingan kerjasama antara majikan, penyedia latihan, tenaga pengajar dan pemain industri dalam meningkatkan standard latihan serta menyokong agenda pembangunan modal insan Malaysia.







