
ADA wanita yang keluar rumah dengan senyuman, bekerja seperti biasa dan bergaul dengan masyarakat tanpa sesiapa menyedari bahawa dirinya sedang menanggung penderitaan.
Ada juga yang pulang ke rumah dengan perasaan takut, bukan kerana bimbang terhadap orang asing di luar, tetapi kerana individu yang menunggunya di sebalik pintu.
Lebih menyedihkan, ada yang memilih untuk terus berdiam diri kerana menganggap penderitaan itu sebahagian daripada kehidupan berumah tangga, takut kehilangan tempat bergantung atau bimbang tidak dipercayai sekiranya berani bersuara.
Hakikatnya, keganasan terhadap wanita bukan sekadar tentang pukulan, kecederaan fizikal atau penderaan seksual.
Ia juga hadir dalam bentuk ugutan, penghinaan, kawalan emosi, manipulasi psikologi, gangguan seksual dan penderaan melalui teknologi digital.
Ada luka yang boleh dirawat dengan ubat, tetapi ada trauma yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan terhadap Wanita
Sempena Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan terhadap Wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun, masyarakat wajar melihat isu ini melangkaui angka statistik dan kempen kesedaran bermusim.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia, bersamaan kira-kira 840 juta wanita dan kanak-kanak perempuan, pernah mengalami keganasan fizikal dan/atau seksual sepanjang hayat mereka.
Angka itu bukan sekadar statistik. Di sebaliknya terdapat jutaan kisah kehidupan yang mungkin tidak pernah didengari, laporan tidak pernah dibuat dan penderitaan disembunyikan daripada pengetahuan orang sekeliling.
Di Malaysia, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sebanyak 6,522 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2025, berbanding 7,116 kes pada 2024.
Bagaimanapun, kes serangan seksual pula meningkat 14.3 peratus kepada 4,562 kes dalam tempoh sama.
Penurunan kes keganasan rumah tangga yang direkodkan tidak semestinya bermakna masalah itu semakin selesai, apatah lagi masih terdapat kemungkinan mangsa tidak tampil membuat laporan atas pelbagai faktor.
Dalam era digital pula, bentuk keganasan semakin kompleks.
Wanita boleh menjadi mangsa gangguan seksual dalam talian, penyebaran gambar tanpa persetujuan, ugutan menggunakan maklumat peribadi, gangguan berulang dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan intim palsu.
Teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan akhirnya boleh menjadi alat untuk mengaibkan, mengugut dan mengawal seseorang.
Pilih berdiam diri
Namun, persoalan lebih besar ialah mengapa masih ramai wanita memilih untuk berdiam diri?
Jawapannya tidak semudah yang disangka.
Ada yang takut dipersalahkan, ada yang bergantung sepenuhnya kepada pasangan dari segi kewangan, manakala sebahagian lagi bimbang keselamatan anak-anak dan masa depan keluarga.
Berikutan itu, masyarakat tidak seharusnya mudah bertanya mengapa seseorang wanita tidak meninggalkan hubungan yang mendera, sebaliknya perlu memahami betapa sukarnya seseorang mangsa mencari jalan keluar daripada situasi berkenaan.
Lebih penting, jangan jadikan pakaian, pergaulan atau latar belakang seseorang wanita sebagai alasan untuk membenarkan keganasan terhadapnya.
Penghapusan keganasan terhadap wanita bukan tanggungjawab wanita semata-mata.
Tanggungjawab kolektif
Golongan lelaki, keluarga, masyarakat, institusi pendidikan, majikan dan pihak berkuasa mempunyai peranan masing-masing dalam membina persekitaran yang selamat serta menghormati maruah setiap insan.
Tema kempen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 2026 iaitu UNiTE to End Violence Against Women and Girls: Ensure justice, protect survivors, end impunity turut menekankan keperluan memastikan keadilan, melindungi mangsa serta menamatkan budaya tidak bertanggungjawab terhadap pelaku keganasan.
Justeru, mangsa perlu diberikan ruang selamat untuk bersuara, akses kepada bantuan guaman, perlindungan, rawatan kesihatan dan sokongan psikososial tanpa prejudis.
Pada masa sama, masyarakat perlu belajar menjadi pendengar yang baik.
Jangan memperlekehkan pengakuan mangsa, jangan menyebarkan kisah mereka tanpa izin dan jangan menjadikan penderitaan seseorang sebagai bahan perbualan atau kecaman.
Kita mungkin tidak mampu menghapuskan semua bentuk keganasan dalam sekelip mata, tetapi kita boleh bermula dengan tidak lagi menganggapnya sebagai perkara biasa.
Kerana setiap wanita berhak hidup tanpa ketakutan, tanpa ugutan dan tanpa perlu meminta izin untuk mempertahankan maruah serta keselamatan dirinya.
Jangan tunggu sehingga luka itu kelihatan untuk mempercayai bahawa seseorang sedang menderita.
Kadangkala, suara yang paling perlahan itulah yang paling memerlukan pertolongan.







