
LANGIT sastera tanah air hari ini diselubungi mendung duka.
Pemergian Sasterawan Negara keempat, Allahyarham Datuk Seri Dr. Abdul Samad Mohamed Said atau lebih mesra disapa Pak Samad pada usia 91 tahun, meninggalkan kekosongan yang sukar dicari ganti dalam hati seluruh pencinta bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Pena yang selama lebih tujuh dekad setia merakam denyut nadi masyarakat kini akhirnya terhenti buat selama-lamanya.
Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Sasterawan Negara itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.05 petang tadi.
Berita itu disahkan oleh anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di media sosial.
Ringkas penulisan dia, ‘Innalillahi wainnailaihi rojiun’.
A Samad Said sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad petang semalam akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
Perjalanan hidup Pak Samad merupakan cerminan jiwa seorang seniman sejati yang tidak pernah lelah berkarya.
Bermula daripada kerjaya kewartawanan, ketajaman mata pena beliau melahirkan naskhah-naskhah agung seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, dan Hujan Pagi.
Melalui bait-bait puisi dan prosa yang penuh jiwa, beliau mengangkat martabat bahasa kebangsaan serta menjadi suara nurani bagi golongan marhaen yang sering terpinggir.
Kini, sosok berjambang putih yang menjadi simbol ketekunan dan kecintaan terhadap ilmu itu telah pulang menghadap Ilahi.
Meskipun jasadnya sudah tiada, setiap aksara yang pernah dititipkan oleh Pak Samad akan terus hidup subur sebagai khazanah abadi bangsa.
Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman







