
Episod pendek, jalan cerita pantas dan watak yang kelihatan semakin realistik.
Drama dijana kecerdasan buatan atau AI kini muncul sebagai hiburan baharu yang membuatkan penonton sanggup menonton satu episod demi satu episod.
“Okay, tengok satu episod saja.”
Lima belas minit kemudian.
“Eh, dah episod 20?”
Kalau pernah mengalami situasi itu, anda mungkin sudah terkena satu lagi fenomena baharu dalam dunia hiburan digital iaitu drama yang dijana menggunakan AI.
Bukan lagi sekadar video lucu, gambar pelik atau suara tiruan, teknologi AI kini mula digunakan untuk menghasilkan kandungan berbentuk drama.
Ada keluarga kaya, pewaris syarikat, pasangan curang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) misteri, adiwira, magis, watak yang tiba-tiba muncul selepas 20 episod dan pelbagai genre lagi.
Pendek kata, semuanya boleh digarap melalui AI dengan menggunakan prompt mudah dan pantas tidak perlu lagi melalui produksi drama tradisional.
Pendek, pantas dan terus kepada konflik
Antara sebab drama AI mudah menarik perhatian ialah kemungkinan besar adalah kerana format yang digunapakai dengan episod pendek, cerita bergerak pantas dan tidak perlu lagi menunggu 40 minit untuk konflik berlaku.
Dalam beberapa minit sahaja, watak sudah bergaduh, berpisah, berkahwin, dikhianati dan kemudian muncul pula satu rahsia besar.
Kemudian episod tamat.
Dan muncul satu ayat yang cukup berbahaya:
“Bersambung…”
Pada saat itu, tangan mula mencari episod seterusnya.
Satu. Dua. Tiga. Tanpa disedari mata terpaku hampir satu jam menghadap skrin.
Drama tidak hebat tetapi susah ditinggalkan
Menariknya, drama AI tidak semestinya mempunyai jalan cerita yang kompleks atau lakonan setaraf produksi televisyen.
Kadangkala dialognya kedengaran janggal malah gerakan watak pula tidak begitu natural.
Ada wajah yang berubah sedikit antara satu babak dengan babak lain tetapi peliknya kita tetap menonton.
Kenapa?
Ia mungkin kerana bukan soal kesempurnaan tetapi tentang rasa ingin tahu.
Apa akan berlaku selepas ini?
Adakah dia akan membalas dendam?
Siapa sebenarnya lelaki itu?
Adakah mereka akan bersama?
Apa rahsia keluarga tersebut?
Persoalan-persoalan kecil itu menjadi “umpan” untuk memastikan penonton terus menekan episod seterusnya.
AI dan formula “sekali lagi”
Dalam dunia kandungan digital perhatian adalah wang.
Semakin lama seseorang menonton, semakin bernilai sesuatu kandungan itu kepada platform atau pencipta kandungan.
AI pula menjadikan penghasilan kandungan semakin mudah dan pantas.
Jika sebelum ini menghasilkan drama memerlukan penulis, pelakon, kru kamera, lokasi, penyunting dan kos produksi yang besar, AI berpotensi mengurangkan sebahagian daripada halangan tersebut.
Hasilnya?
Lebih banyak cerita boleh dihasil, lebih banyak episod, lebih banyak watak dan lebih banyak peluang untuk penonton berkata: “Satu lagi episod.”
Dari penonton kepada “ketagih”
Di sinilah fenomena itu menjadi menarik.
Menonton drama bukan perkara baharu. Manusia memang sudah lama ketagih dengan siri televisyen, sinetron, K-drama dan drama bersiri.
Bagaimanapun, drama AI membawa satu perubahan dalam landskap hiburan masa kini.
Apabila cerita boleh dijana dengan pantas, pencipta kandungan tidak semestinya perlu menunggu berminggu-minggu untuk menghasilkan episod baharu.
Cerita boleh bergerak mengikut minat penonton, watak yang popular boleh terus dikembangkan malah konflik boleh dipanjangkan dan apabila satu cerita tamat, cerita baharu pula muncul.
Bahaya sebenar mungkin bukan AI
Tidak semua orang yang menonton drama AI boleh dianggap ketagih.
Istilah “ketagihan” juga perlu digunakan dengan berhati-hati kerana menonton banyak kandungan tidak semestinya bermaksud seseorang mengalami gangguan ketagihan.
Begitupun, tanda mudah seperti hilang kawalan terhadap tempoh menonton, mengabaikan tidur atau kerja dan berasa sukar berhenti walaupun mahu berhenti patut membuatkan kita berfikir semula tentang tabiat menonton.
Pada akhirnya, teknologi hanya menyediakan alat. Keputusan menentukan berapa lama kita menggunakannya masih manusia.
Episod terakhir?
Mungkin persoalan paling menarik ialah bagaimana industri hiburan akan berubah apabila AI semakin baik.
Mungkin suatu hari nanti kita bukan sekadar memilih drama. Kita boleh memilih sendiri watak, genre, jalan cerita dan pengakhiran.
Bahkan, AI mungkin menghasilkan drama yang benar-benar dibuat mengikut selera individu.
Pada waktu itu, masalahnya mungkin bukan lagi drama apa yang hendak saya tonton malam ini? tetapi bila saya nak berhenti menonton?
Ia berikutan dalam dunia hiburan yang boleh menghasilkan cerita tanpa penghujung, episod terakhir mungkin bukan lagi ditentukan oleh pencipta.
Ia mungkin perlu ditentukan oleh penonton sendiri.







