
KUALA LUMPUR: Dua pengarah Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan pada pukul 3.53 petang semalam oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Kertas siasatan dibuka pada 10 September susulan satu laporan polis berdasarkan hasil semakan terhadap syarikat berkenaan berhubung penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, siasatan turut meliputi aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan berkenaan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.
Semalam, kedua-dua pengarah terbabit dipanggil polis untuk dirakam percakapan berhubung siasatan yang dijalankan.
Mereka kemudiannya ditahan selepas selesai memberikan keterangan, tidak lama selepas mengadakan sidang media di luar Menara KPJ, Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, di sini.






