
SHAH ALAM: Sebanyak 56 lokasi dikenal pasti sebagai hot spot banjir manakala 232 kawasan lain dikategorikan berisiko dilanda bencana itu di Selangor tahun ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pengenalpastian lokasi berkenaan dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berdasarkan data asas tahun lalu.
Katanya, Klang mencatatkan jumlah hotspot tertinggi sebanyak 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).
“Bagi mempertingkat keupayaan tindakan di lapangan, sebanyak 150 unit pam bergerak turut disediakan, terdiri 31 unit milik Kerajaan Persekutuan dan 119 unit milik Kerajaan Negeri.
“Pengoperasiannya disokong oleh 15 anggota pasukan Bahagian Pengurusan Mekanikal dan
Elektrikal (BPME), lima lori kren serta lima kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan pam dapat digerakkan ke lokasi yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, JPS turut memastikan aset dan sistem pemantauan hidrologi berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Ketika ini, Selangor dilengkapi 221 stesen telemetri hujan, 124 stesen telemetri aras air, 140 siren amaran dan 72 kamera IP bagi membolehkan keadaan cuaca serta paras air dipantau secara berterusan.
“Sebanyak 353 pintu air dan 161 pam tetap turut tersedia bagi menyokong pengurusan aliran air serta meningkatkan keupayaan operasi pengurusan banjir di seluruh negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, sebanyak 1,161 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Selangor bagi menempatkan mangsa sekiranya berlaku banjir.
Daripada jumlah itu, 696 merupakan sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 242 dewan, 135 balai raya manakala selebihnya melibatkan sekolah bukan seliaan KPM, masjid, surau dan pusat komuniti.
Jamaliah berkata, berdasarkan unjuran JPS menunjukkan jumlah hujan tahunan di Selangor bagi tahun ini dianggarkan sebanyak 2,232 milimeter (mm).
Sehingga 1 November, sebanyak 1,460 mm atau 65 peratus daripada anggaran tahunan telah direkodkan, manakala November dan Disember dijangka menerima taburan hujan masing- masing sebanyak 268 mm dan 230 mm.
Justeru katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor mempunyai kekuatan seramai 7,677 anggota daripada pelbagai agensi bagi melancarkan penyelarasan berkaitan banjir ini.
“Keupayaan operasi ini disokong oleh 708 kenderaan darat, 247 aset pengangkutan air serta peralatan operasi termasuk 5,739 khemah, 1,950 jaket keselamatan, 141 pam air, 48 waterjet 192 gergaji rantai dan 20 dron bagi mendukung operasi menyelamat, pemindahan serta bantuan kecemasan, ” katanya.






