
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap harimau di Kampung Takung, Pos Perwor, susulan kejadian serangan harimau yang mengorbankan seorang penduduk Orang Asli, Isnin lalu.
Usaha itu turut dibantu beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Sungai Siput bagi memastikan keselamatan penduduk serta menangani ancaman haiwan berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook RELA Daerah Sungai Siput (U), penduduk dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau memasuki kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran harimau.
“Mereka juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Sekiranya terdapat maklumat berkaitan kehadiran harimau, orang ramai hendaklah segera memaklumkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” menurut hantaran itu.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli, Zamberi Angah, 42, maut dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di kawasan Hutan Simpan Korbu berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor.
Mangsa ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai diserang, dengan kesan tapak kaki harimau dan beberapa petunjuk lain.






