
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), untuk menentukan masa depannya bersama dengan skuad kebangsaan, selepas kempen sulung Piala ASEAN FIFA 2026.
Tan berkata fokus utamanya ketika ini adalah untuk memastikan pasukan memberikan prestasi terbaik dalam kejohanan berkenaan, selain membina semula keyakinan penyokong terhadap skuad negara pada piala yang bermula Jumaat ini hingga 5 Okt di Indonesia.
“Untuk saya, saya serahkan kepada pengurusan atau FAM, kerana tugas dan tanggungjawab saya adalah untuk FIFA ASEAN Cup ini. Sudah tentu setiap jurulatih mempunyai impian untuk melakukan yang terbaik.
“Pada masa sama, saya sangat gembira dengan skuad yang ada ketika ini dan saya yakin pemain akan memberikan yang terbaik. Yang paling penting ialah mendapatkan keyakinan daripada peminat dan juga untuk masa depan kita,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Cheng Hoe berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal kedudukannya selepas kejohanan itu, sebaliknya mahu memastikan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap perlawanan.
Mengulas sasaran dalam Piala ASEAN FIFA 2026, Cheng Hoe berkata kejayaan tetap menjadi matlamat setiap jurulatih, namun skuad negara perlu memberi perhatian terlebih dahulu kepada aksi pembukaan menentang Bangladesh sebelum berhadapan tuan rumah Indonesia dan Singapura dalam Kumpulan A.
Beliau mengakui perlawanan menentang Indonesia bakal menjadi cabaran besar, terutama dengan faktor bermain di hadapan penyokong tuan rumah, namun pengalaman pernah beraksi di negara itu pada 2010 membantu beliau memberikan panduan kepada pemain.
“Saya ada pengalaman pada 2010. Saya beritahu pemain yang penting kita fokus kepada permainan dan perlawanan. Dari segi keselamatan, mereka ada kawalan keselamatan di sana. Saya fikir kita jangan terlalu memikirkan mengenai kapasiti penuh penyokong yang fanatik, tetapi kita perlu fokus kepada perlawanan.
“Yang penting kita tenang menghadapi setiap saat dan setiap perlawanan di sana nanti,” katanya.
Skuad Harimau Malaya bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh.
Malaysia, yang berada pada kedudukan ke-136 dunia, akan memulakan kempen menentang Bangladesh (181 dunia) di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat, Indonesia pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A berdepan Singapura pada 1 Okt.
Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang, hari yang sama. – BERNAMA







