
SEPANG: Pemain sayap sensasi Harimau Malaya Faisal Halim tidak sabar merasai bahang Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta yang menjadi antara venue saingan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026.
Faisal berkata keterujaan berdepan musuh tradisi Indonesia pada aksi kedua kumpulan di gelanggang keramat skuad Garuda itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk membantu Harimau Malaya melakar keputusan positif pada kejohanan berlangsung dari 25 Sept hingga 5 Okt ini.
Pemain Selangor FC itu berkata pertembungan Malaysia-Indonesia sentiasa mempunyai keistimewaan tersendiri, apatah lagi beliau membesar dengan menyaksikan perseteruan sengit kedua-dua pasukan yang sering mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.
“Sudah tentu (teruja). Lagi-lagi waktu saya kecil, kita melihat pasukan kebangsaan kita bertemu dengan pasukan Indonesia bukan mudah. Itu adalah satu perlawanan yang menjadi tumpuan, yang semua rakyat Malaysia nanti-nantikan.
“Apa-apa sekalipun, pemain dan rakan-rakan semua kena bersedia. Siapa yang jurulatih Tan (Cheng Hoe) memberi peluang ataupun diturunkan, tanggungjawab untuk pasukan kebangsaan ini begitu besar,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Jakarta hari ini.
Mengenai kemungkinan berdepan provokasi penyokong tuan rumah, Faisal berkata perkara itu tidak sedikit pun meresahkannya, sebaliknya menganggap suasana panas di Gelora Bung Karno sebagai cabaran yang perlu dihadapi setiap pemain profesional.
“Pada saya kita dah matang, kita dah profesional. Apa-apa provokasi ataupun lontaran-lontaran oleh pihak penyokong di sana kepada kita, kita sebagai pemain kena hadaplah.
“Kita kena hadap, kuatkan mental dan fizikal, bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia,” katanya.
Faisal berkata kemenangan pasukan menjadi keutamaannya berbanding memburu jaringan atau mencipta bantuan gol, selain berharap Harimau Malaya mampu melangkah ke pusingan seterusnya.
Malaysia yang kini di ranking ke-136 dunia akan membuka saingan berdepan Bangladesh (181) di Gelora Bung Karno, Jumaat ini diikuti tuan rumah, Indonesia, pada Isnin sebelum melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung (1 Okt).
Juara Kumpulan A dan Kumpulan B bakal berentap pada aksi Final di Gelora Bung Karno pada 5 Okt manakala naib juara setiap kumpulan akan membuat perhitungan tempat ketiga di venue dan hari sama. – BERNAMA






