
PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia mencadangkan penubuhan satu mekanisme rasmi bagi membantu keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui dalam bencana di Nepal bulan lalu, sekiranya operasi pencarian berakhir tanpa kepastian mengenai nasib mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah sebelum beliau berlepas ke China pagi tadi.
Menurut Anwar, mekanisme tersebut diperlukan bagi membantu keluarga mangsa menguruskan urusan berkaitan aspek perundangan, kewangan dan pentadbiran sekiranya mereka yang hilang tidak berjaya ditemukan.
“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian.
“Langkah ini penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
“Saya akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan.






