
LONDON: Cef selebriti terkenal, Gordon Ramsay, bakal menggalas tugas sebagai hos baharu program permotoran popular BBC, Top Gear.
Ia sekali gus menandakan kebangkitan semula rancangan ikonik itu selepas hampir enam tahun tidak bersiaran.
Ramsay, yang lebih dikenali menerusi dunia kulinari dan rancangan televisyen, bakal menukar dapur memasak dengan dunia automotif apabila mengambil alih peranan sebagai pengacara program berkenaan.
Minat mendalamnya terhadap kereta bukan lagi rahsia, malah beliau memiliki lesen perlumbaan dan pernah membuat kemunculan sebagai tetamu dalam Top Gear sebanyak tiga kali sebelum ini.
Menurut BBC Studios, Top Gear dijadualkan kembali ke kaca televisyen pada 2028, dengan penggambaran akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar United Kingdom serta seluruh dunia pada tahun depan.
Kemunculan semula program itu dijangka menyajikan pelbagai pengembaraan luar biasa, ujian kenderaan mencabar serta aksi lagak ngeri yang menjadi identiti rancangan berkenaan.
Top Gear mula bersiaran pada 1977 sebelum dihentikan pada 2022 susulan insiden kemalangan membabitkan bekas pengacaranya, Andrew Flintoff.
Bekas pemain kriket England itu mengalami kecederaan serius yang mengubah kehidupannya selepas kenderaan tiga roda tanpa bumbung dipandunya terbalik ketika menjalani penggambaran di litar ujian rancangan berkenaan.
Awal tahun ini, Pengarah Hiburan BBC, Ed Havard, mengesahkan pihak penyiaran itu sedang merancang untuk menghidupkan semula program permotoran berkenaan.
Pelantikan Ramsay dilihat sebagai langkah baharu BBC untuk mengembalikan tarikan Top Gear kepada penonton, khususnya dengan menampilkan personaliti televisyen yang cukup dikenali di peringkat antarabangsa. – agensi







