
KLUANG: Remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam pada Isnin lalu direman semula selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh.
Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Hakim Mujib Saroji di Mahkamah Sesyen Kluang di sini hari ini.
Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna coklat tiba di pekarangan mahkamah pukul 8.45 pagi dengan kawalan ketat polis.
Sebelum ini, remaja berkenaan direman selama tiga hari sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Namun, suspek ditahan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian pukul 1 petang pada 1 Jun lalu di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.
Pemandu BMW berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami dalam nahas tersebut.





