
DUNGUN: Keluarga empat sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan tragis di Simpang Renggam, Johor pada Isnin lalu bercadang mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pampasan daripada pihak yang didakwa menyebabkan nahas berkenaan.
Waris mangsa, Fauziah Abdullah, 59, berkata, tuntutan tersebut dibuat demi mendapatkan keadilan buat ahli keluarganya yang meninggal dunia akibat kemalangan itu.
Menurutnya, empat mangsa yang terkorban ialah anaknya, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, menantu, Nor Azlina Latif, 33, cucunya, Nur Airish Syifa Sidek, 10, serta besannya, Semek Mat Soh, 73.
“Kami akan meneruskan tuntutan pampasan ini demi keadilan semua mangsa yang terlibat.
“Selepas pemergian Nur Airish, hanya tinggal seorang lagi cucu saya, Syafiq Asyraf, 15. Dalam sekelip mata saya kehilangan anak, menantu, cucu dan besan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Setia Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini.
Fauziah berkata, kesedihan kehilangan suaminya, Mohd Rashid Dolah, 59, kira-kira dua minggu lalu masih belum terubat apabila sekali lagi diuji dengan pemergian empat ahli keluarganya serentak.
Namun, dia menyerahkan urusan tuntutan pampasan tersebut kepada anak-anak dan menantunya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bapa kepada Nur Airish, Sidek Abd. Hamid, 42, berkata, keluarga masih dalam keadaan terkejut dan bersedih, justeru sebarang keputusan mengenai saman serta tuntutan pampasan akan dibincangkan kemudian.
“Kami mahu menuntut keadilan kerana ahli keluarga kami meninggal dunia akibat kecuaian pihak lain. Pada masa sama, kami berharap tindakan ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab ketika memandu,” katanya.





