
KUALA LUMPUR: Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang dijadualkan bermula pada 22 Jun ini akan berlangsung seperti yang dirancang tanpa sebarang pindaan pada jadual asal.
Perkara itu disahkan oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kepada Bernama hari ini.
Menurut pejabat berkenaan, setakat ini tiada perubahan dibuat terhadap jadual persidangan Dewan Rakyat yang telah diterbitkan dalam takwim rasmi Parlimen.
“Setakat ini, tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat yang telah dipaparkan dalam takwim rasmi Parlimen,” menurut Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Berdasarkan takwim menerusi portal Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.
Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat bagi tahun ini melabuhkan tirainya pada 3 Mac lalu selepas berlangsung selama 20 hari persidangan.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa sidang Dewan Rakyat mungkin ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, semalam Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, memaklumkan bahawa DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi turut dibubarkan secara rasmi hari ini selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.





