
SEREMBAN : Sidang Khas Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin di sini tetap berjalan mengikut perancangan asal walaupun berlaku insiden kecil yang mencetuskan sedikit kekecohan.
Perkara itu disahkan oleh peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Undang Luak Jelebu ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Beliau memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut bermula pada jam 9 pagi sebelum ditangguhkan sekitar jam 9.52 pagi.
Dalam masa sama, Khairul Azam turut meminta pihak media agar bersabar kerana akan ada satu lagi acara penting yang bakal berlangsung, namun beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.
“Mesyuarat DKU telah selesai diadakan tadi dan dipengerusikan oleh Datuk Undang Jelebu.
“Mesyuarat bermula pada jam 9 pagi dan ditangguhkan pada jam 9.25 pagi. Jadi untuk permulaan, itu dahulu yang dapat saya maklumkan.
“Proses seterusnya, sila tunggulah…perkara yang besar juga akan berlaku nanti apabila Tunku Besar Tampin kembali,” katanya.
Selain itu beliau memberitahu, ahli DKU yang hadir ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Tampin Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.





