
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait semalam.
Wisma Putra memaklumkan, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat situasi serangan berkenaan.
“Kementerian mengesahkan kesemua warganegara yang berdaftar di negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan tiada laporan mengenai warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Susulan serangan tersebut, lapangan terbang berkenaan telah ditutup buat sementara waktu dan semua penerbangan komersial digantung sehingga diberitahu kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, warganegara Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan itu dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan pengaturan alternatif dan penjadualan semula penerbangan.
“Mereka yang menetap atau melakukan perjalanan di rantau ini digesa untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang paling tinggi.
“Warganegara Malaysia mesti mematuhi sepenuhnya sebarang arahan keselamatan, sekatan pergerakan atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Katanya, Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi itu secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini jika perlu.
Bagi yang belum mendaftar keberadaan mereka juga diseru untuk berbuat demikian dengan segera menerusi portal e-Konsular Kementerian di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan yang pantas.
Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait secara terus menerusi talian +965 2255 0394 / +965 2255 0395 atau talian kecemasan +965 9678 3036 atau emel kepada mwkuwait@kln.gov.my.






