
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebelum diumumkan dalam tempoh seminggu menjelang hari penamaan calon.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memberikan ruang menyelesaikan sebarang isu lebih awal di kawasan DUN tertentu.
“BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka-muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.
“Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan kombinasi akan kita lakukan antara pemegang-pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu.
“Kali ini muka-muka baharu akan turut mewarnai wajah-wajah bakat kepimpinan baharu di Johor,” katanya.
Tambah beliau, BN kini dalam proses memperkukuh jentera sedia ada selain menggerakkan bantuan dari negeri-negeri lain.
Pada Isnin lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 menyaksikan UMNO-Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertanding diikuti Pakatan Harapan dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).







