
JAKARTA: Nilai rupiah Indonesia mencatat sejarah hitam apabila merosot melepasi paras psikologi 18,000 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama, ketika kebimbangan terhadap ekonomi negara itu terus memuncak.
Pada urus niaga pagi ini, mata wang republik itu susut kepada 18,047 rupiah bagi setiap dolar AS, meskipun pelbagai langkah telah diambil oleh Bank Indonesia bagi menstabilkan nilainya, termasuk menaikkan kadar faedah sejak beberapa minggu lalu.
Tekanan terhadap rupiah dilihat semakin ketara susulan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi terbesar Asia Tenggara itu yang kini berdepan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran global.
Pasaran saham Indonesia turut menerima tempias apabila susut hampir empat peratus, sekali gus menyaksikan nilai pasaran kehilangan satu per tiga sepanjang tahun ini.
Kejatuhan mata wang itu berlaku hanya beberapa jam sebelum Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang yang memperluaskan mandat Bank Indonesia untuk turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi selain mengawal inflasi dan kestabilan kewangan.
Pindaan tersebut turut memberi kuasa kepada ahli Parlimen untuk menilai prestasi bank pusat berkenaan, selain memperluaskan pengawasan ke atas Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK).
Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh daya saing ekonomi negara dan merangsang pertumbuhan ketika Indonesia berdepan kesan kenaikan mendadak harga minyak dunia.
“Ini bukan hanya mengenai kestabilan kadar pertukaran atau inflasi semata-mata, tetapi juga usaha memastikan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan terus diperkukuh,” katanya ketika membentangkan pindaan itu di Parlimen.
Namun, beberapa penganalisis ekonomi menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya campur tangan politik dalam urusan bank pusat.
Ahli ekonomi Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Yose Rizal Damuri berkata, pindaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai tahap kebebasan Bank Indonesia sekiranya campur tangan Parlimen menjadi amalan berterusan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Central Bank Asia, David Sumual berkata, pasaran memerlukan jaminan bahawa dasar monetari dan penyeliaan kewangan negara kekal bebas daripada pengaruh politik.
Menurutnya, persepsi bahawa kebebasan institusi kewangan semakin terhakis boleh meningkatkan risiko pelaburan serta menambah tekanan terhadap pasaran kewangan negara itu. – AFP






