
AMPANG: Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dikenakan hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi sembilan pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.
Tertuduh, Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Mahkamah mengenakan hukuman penjara antara lima hingga 12 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu.
Keputusan itu menyebabkan tertuduh perlu menjalani hukuman keseluruhan selama 36 tahun selain enam sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima penghuni sebuah pusat jagaan kanak-kanak milik pertubuhan kebajikan di Batu Caves, Gombak antara November 2025 hingga Mac lalu.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan amang seksual bukan fizikal dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah mengaku bersalah.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman bagi semua pertuduhan dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan itu melibatkan mangsa kanak-kanak dan memberi kesan berpanjangan kepada mereka.
Menurutnya, jenayah seksual yang dilakukan bukan sahaja mencemarkan maruah mangsa, malah meninggalkan trauma yang boleh berlarutan sepanjang hayat.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan berkenaan menceritakan kejadian yang dialami kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.
Siasatan mendapati mangsa didakwa dikejutkan daripada tidur sebelum tertuduh melakukan perbuatan tersebut dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur pusat jagaan itu.
Mangsa turut diugut supaya tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana bimbang dimarahi atau dipukul.
Pemeriksaan di Hospital Selayang kemudian mendapati terdapat kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu pada dubur mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu.
Terdahulu, pada 21 Mei lalu, lelaki itu turut dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku bersalah bagi enam pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.







