
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendedahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan pelbagai kelemahan sistemik membabitkan aspek tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi yang menjejaskan keberkesanan operasi badan induk bola sepak negara itu.
Dapatan tersebut diperoleh menerusi Penilaian Tahap Kematangan Keupayaan (CMA) yang dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany kepada perwakilan pada Kongres Luar Biasa FAM yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut laporan penilaian itu, masalah yang dihadapi FAM bukan tertumpu kepada satu jabatan tertentu, sebaliknya melibatkan kelemahan berulang merentasi hampir keseluruhan struktur organisasi.
AFC menyifatkan isu berkenaan berpunca daripada kelemahan tadbir urus, tahap akauntabiliti yang rendah serta reka bentuk institusi yang kurang berkesan dalam menyokong operasi persatuan.
Hasil penilaian menunjukkan kebanyakan jabatan dalam FAM hanya berada pada tahap dua atau prapertengahan dengan skor antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi.
Antara bahagian yang dinilai termasuk tadbir urus dan perundangan, pentadbiran serta logistik, kewangan dan pengurusan risiko, infrastruktur dan fasiliti, selain pertandingan, kelab serta pengurusan acara.
Bahagian komunikasi dan media menjadi satu-satunya unit yang mencapai tahap tiga dengan skor 2.0, sekali gus mencatat prestasi terbaik berbanding jabatan lain.
AFC turut mendapati struktur tadbir urus yang diwujudkan dalam organisasi itu tidak diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi oleh jawatankuasa eksekutif.
Laporan tersebut turut membangkitkan kebimbangan mengenai kuasa membuat keputusan yang didakwa terlalu tertumpu kepada individu tertentu sehingga mengabaikan mandat rasmi serta saluran pelaporan yang sepatutnya diamalkan dalam sesebuah organisasi profesional.
Selain itu, beberapa fungsi penting didapati terlalu bergantung kepada individu dan bukannya sistem yang tersusun, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kesinambungan operasi organisasi.
Penilaian itu juga mendapati kebanyakan jabatan tidak mempunyai pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti dan laporan prestasi yang lengkap, manakala beberapa polisi dalaman masih belum diluluskan secara rasmi.
AFC turut menegaskan ketiadaan petunjuk prestasi utama (KPI), kebergantungan kepada segelintir individu dalam menyimpan pengetahuan institusi serta budaya kerja yang menyebabkan kakitangan kurang berani melaporkan masalah menjadi antara kelemahan yang perlu diberi perhatian segera.
Dapatan tersebut dijangka menjadi asas kepada usaha penambahbaikan menyeluruh dalam struktur pentadbiran FAM bagi memastikan badan induk bola sepak negara itu dapat beroperasi dengan lebih cekap, telus dan berdaya saing pada masa hadapan.







