
KUALA LUMPUR : Sebanyak 3,208 peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan telah dikenal pasti menerusi fasa awal kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membantu bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperoleh peluang kerjaya baharu.
Peluang pekerjaan tersebut merangkumi pelbagai subsektor termasuk pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat serta rantaian bekalan sekali gus menyediakan laluan kerjaya kedua yang lebih sistematik, stabil dan berdaya mampan kepada anggota ATM selepas menamatkan perkhidmatan mereka.
MOT dan MINDEF dalam kenyataan bersama hari ini berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada bakal pesara dan veteran ATM malah membantu memenuhi permintaan tenaga kerja yang semakin meningkat dalam industri pengangkutan.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan turut memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara melalui peluasan akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program latihan kemahiran, peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) serta penempatan pekerjaan dalam sektor pengangkutan untuk bakal pesara dan veteran ATM.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Inisiatif terbabit turut menyokong agenda nasional untuk memperkukuh ekosistem TVET yang lebih inklusif, responsif dan berorientasikan industri,”kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, veteran ATM adalah aset strategik negara yang memiliki pengalaman operasi yang luas, kemahiran teknikal relevan, disiplin tinggi serta keupayaan kepimpinan yang diperlukan industri.
“Inisiatif ini adalah susulan kepada aspirasi yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara untuk memperluas akses latihan dan peluang pekerjaan kepada kumpulan sasar berpotensi, termasuk bakal pesara dan veteran ATM,” ujar kenyataan itu lagi.







