
KUALA LUMPUR: Kreativiti dan kesedaran golongan belia terhadap penggunaan tenaga secara cekap terus mendapat pengiktirafan apabila pemenang Cabaran Cool-Lah diraikan dalam Majlis Anugerah Cabaran Cool-Lah yang berlangsung hari ini.
Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.
Merupakan inisiatif menerusi Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kementerian peneraju, PETRA bersama EcoKnights dengan sokongan UNEP-United for Efficiency (U4E) dan Kementerian Pendidikan (KPM), Cabaran Cool-Lah berjaya menarik penyertaan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara menerusi kategori video dan esei.
Cabaran Cool-Lah adalah sebahagian daripada pelaksanaan program Cool-Lah Tambahlah Bintang oleh UNEP-United for Efficiency (U4E) bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai piawaian kecekapan tenaga baharu penyaman udara dan mempromosikan manfaat amalan penyejukan pintar.
Program yang dilaksanakan melalui platform DELIMa bagi membolehkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara itu mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 45 penyertaan video dan 288 esei diterima sekali gus menterjemahkan minat tinggi generasi muda terhadap isu kecekapan tenaga serta kelestarian alam sekitar.
Pertandingan berkenaan memberi ruang kepada pelajar mengetengahkan idea kreatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara lebih bijak, khususnya melalui pemilihan dan penggunaan sistem penyejukan yang cekap tenaga.
Bagi kategori video, Cheng Hao Song dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan, Selangor muncul juara manakala kategori esei pula menjadi milik pelajar Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Melaka, Nur Amani Noorisman.
Selain pemenang utama, anugerah khas turut diberikan bagi menghargai kekuatan penyampaian dan kreativiti peserta. Bagi kategori video, Anugerah Khas Penceritaan Tempatan Terbaik dimenangi oleh Wan Nurina Madiha bt Wan Azlan dari SMK Saujana Impian, Selangor, manakala Anugerah Khas Humor & Kreativiti Terbaik diberikan kepada Razin Firas bin Rosdi dari SMK Pulau Indah, Selangor. Bagi kategori esei pula, Nur Danisya Rizqin dari SMK Seksyen 19, Selangor menerima Anugerah Khas Penggunaan Fakta & Penyelidikan Terbaik, manakala Wong Yuet Ann dari SMJK Poi Lam, Perak menerima Anugerah Khas Penulis Muda Berpotensi.
Dalam pada itu, pengiktirafan turut diberikan kepada para peserta yang menonjol dalam aspek kreativiti, penceritaan tempatan, penyelidikan dan potensi penulisan.
Menurut MELP, penglibatan belia dalam program seumpama itu penting kerana mereka berupaya mempengaruhi tingkah laku isi rumah serta membentuk corak penggunaan tenaga yang lebih lestari pada masa depan.
“Pendekatan pendidikan dan kreativiti dilihat mampu memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap isu tenaga serta mendorong perubahan amalan harian yang lebih bertanggungjawab.
“MELP merupakan inisiatif nasional yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama rakan strategik, bagi meningkatkan literasi tenaga masyarakat serta menyokong aspirasi negara mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
“Sebagai nilai tambah kepada hadiah sedia ada, MELP turut menyediakan hadiah berbentuk Simpan SSPN Prime kepada sejumlah 20 orang finalis bagi kategori video dan esei, sebagai penghargaan atas pencapaian murid serta pelaburan kecil ke arah masa depan pendidikan mereka,” katanya.
Selaras dengan usaha Malaysia dalam memperkukuhkan agenda kelestarian dan tindakan iklim, MELP menambah, Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) bagi penyaman udara telah diperkemas melalui pelaksanaan keperluan baharu yang diwartakan di bawah Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 dan mula berkuat kuasa pada Januari 2026 seperti yang diumumkan oleh ST.
Katanya, piawaian yang dipertingkatkan tersebut bertujuan mempercepatkan penggunaan penyaman udara cekap tenaga di samping mengurangkan penggunaan elektrik dan pelepasan karbon.
“Usaha tersebut turut disokong melalui pelaksanaan inisiatif kesedaran awam seperti Cool-Lah Tambahlah Bintang dan MELP yang memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran pengguna serta pengukuhan literasi tenaga dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong aspirasi negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) malah menyokong agenda kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN Cool Initiative,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Program UNEP-U4E, Patrick Blake, berkata permintaan terhadap sistem penyejukan di Asia Tenggara terus meningkat sekali gus menjadikan penggunaan teknologi cekap tenaga semakin penting dalam menyokong keselamatan tenaga dan agenda tindakan iklim.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Program EcoKnights, Fadly Bakhtiar menegaskan kesedaran mengenai kelestarian perlu diterjemahkan kepada amalan harian yang konsisten, termasuk memahami sistem penarafan tenaga dan menggunakan peralatan penyejukan secara lebih berhemah.
Melalui kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa, usaha memperkasakan literasi tenaga dalam kalangan rakyat khususnya belia dijangka terus diperkukuh bagi melahirkan pengguna yang lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga pada masa hadapan.”







