
PUTRAJAYA : Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mencipta rekod tersendiri apabila dinobatkan sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan di Asia yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun dan ke atas serta masih hidup.
Pengiktirafan menerusi Asia Records itu adalah antara tiga rekod rasmi yang diterima pasangan berkenaan dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Dr. Mahathir, 101, turut diiktiraf ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup, manakala Dr. Hasmah, 100, menerima pengiktirafan sebagai Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup.
Satu lagi rekod Asia Records diberikan kepada mereka atas pencapaian sebagai Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi Centenarian yang Masih Hidup.
Pada 12 Julai lalu, usia keseluruhan pasangan itu mencecah 201 tahun, manakala perkahwinan mereka kini memasuki tahun ke-70 selepas disatukan pada 5 Ogos 1956.
Tahun ini turut menjadi detik istimewa buat pasangan berkenaan apabila Dr. Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai, diikuti Dr. Hasmah yang mencapai usia 100 tahun pada 12 Julai.
Mereka kemudiannya meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lalu.
Kisah kehidupan bersama pasangan itu bermula pada 1947 ketika kedua-duanya merupakan pelajar perubatan di King Edward VII College of Medicine.
Selepas mendirikan rumah tangga pada 1956, mereka dikurniakan tujuh anak dan meneruskan kehidupan bersama, termasuk berkhidmat kepada negara di peringkat tertinggi.
Dr. Mahathir pernah menerajui negara sebagai Perdana Menteri selama 24 tahun dalam dua tempoh berasingan, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.
Dalam tempoh tersebut, Dr. Hasmah pula menjalankan peranan sebagai wanita pertama negara selama 24 tahun, seiring dengan dua tempoh perkhidmatan suaminya sebagai Perdana Menteri.
Pasukan pengadil yang terlibat dalam proses pengesahan rekod mendapati tiada pencapaian seumpama itu yang didokumentasikan secara terbuka di rantau ASEAN mahupun pasaran utama Asia.
Sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, dengan diiringi Ketua Pengadil ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi serta Eldrick Koh.






