
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengiktiraf 50 organisasi cemerlang pada Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2026 yang berlangsung semalam di Kuala Lumpur, atas pencapaian mereka dalam memacu pembangunan tenaga lestari menerusi penggunaan tenaga boleh baharu serta amalan kecekapan tenaga.
Pemenang NEA 2026 dipilih menerusi empat kategori utama, iaitu:
- Pengurusan Tenaga
- Bangunan Cekap Tenaga
- Tenaga Boleh Baharu
- Anugerah Khas
Pencapaian para pemenang membuktikan komitmen semakin kukuh organisasi daripada pelbagai sektor dalam memacu peralihan tenaga Malaysia menerusi penyelesaian praktikal dan inovatif.
Secara keseluruhan, projek yang memenangi anugerah itu berjaya menghasilkan penjimatan tenaga tahunan serta penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 270.54 gigawatt jam (GWh), selain penjimatan kos tenaga tahunan berjumlah RM48.82 juta.
Pada masa sama, ia dianggarkan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 9.93 juta tan setahun, bersamaan mengeluarkan kira-kira 2.2 juta kenderaan dari jalan raya Malaysia.
Pencapaian berkenaan menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sifar bersih pelepasan gas rumah kaca seawal 2050.
NEA 2026 turut mencatatkan satu pencapaian penting apabila kategori Tenaga Boleh Baharu menerima penyertaan penuh buat kali pertama. Perkembangan itu mencerminkan kepelbagaian serta kematangan ekosistem tenaga boleh baharu Malaysia yang semakin berkembang.
Organisasi kini semakin giat menggunakan penyelesaian tenaga bersih termasuk sistem fotovolta solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), biogas, teknologi sisa kepada tenaga serta hidrogen hijau bagi memperkukuh daya tahan tenaga dan mempercepatkan peralihan tenaga negara.
Pencapaian pemenang NEA 2026 turut menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Strategik PETRA 2026-2030, yang memberi keutamaan kepada penggunaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi rendah karbon yang berdaya saing.
Ia juga menegaskan bahawa peralihan tenaga merupakan misi nasional bersama yang memerlukan komitmen kerajaan, industri, sektor perniagaan dan komuniti bagi membangunkan masa depan tenaga yang berdaya tahan, mampan dan inklusif.

Sebahagian pemenang NEA 2026 akan mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) bagi mengetengahkan pencapaian serta amalan terbaik negara dalam bidang tenaga lestari di peringkat serantau.
Perkara itu turut mengukuhkan peranan NEA sebagai platform kebangsaan bagi mengenal pasti dan mengiktiraf organisasi contoh yang berpotensi mencapai kecemerlangan di peringkat nasional serta ASEAN.
NEA 2026 juga merupakan edisi pertama yang menyaksikan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia bertindak sebagai urus setia, susulan peralihan tanggungjawab daripada Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
PETRA yakin SEDA Malaysia akan terus memperkukuh NEA sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan, memperluas penyertaan industri serta menyokong agenda tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga negara.
PETRA mengucapkan tahniah kepada semua pemenang NEA 2026 kerana membuktikan impak yang mampu dicapai apabila inovasi, penyelesaian praktikal dan komitmen digabungkan dengan keutamaan nasional.
PETRA turut menggalakkan lebih banyak organisasi di seluruh Malaysia untuk melabur dalam amalan tenaga lestari dan menyertai edisi NEA akan datang sebagai sokongan kepada agenda peralihan tenaga negara.
Disediakan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).






