
PORT DICKSON: Seorang anggota tentera cedera selepas dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakan sepasukan ketika berada di Lapang Sasar Sungai Menyala, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.15 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang rakan sepasukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mohd Nasharudin berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Polis turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.





