
KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan RXZ Members diarahkan menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan menetapkan beberapa syarat wajib bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang diberi keutamaan.
Arahan itu dipersetujui dalam Sesi Libat Urus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama penganjur RXZ Members yang dipengerusikan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan di Bahagian Penguat Kuasa, Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, semalam.
Muhammad Kifli berkata, setiap peserta diwajibkan memiliki lesen memandu yang sah, manakala motosikal yang didaftarkan perlu mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.
Menurutnya, peserta turut diwajibkan melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan, masing-masing membabitkan bahagian depan, belakang, kiri dan kanan.
“Selain itu, keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.
“Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan serta pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut diperlukan menerusi pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Muhammad Kifli berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat dalam menguruskan penganjuran acara berkenaan, bermula dengan libat urus awal, pendidikan dan kesedaran sebelum tindakan penguatkuasaan tegas diambil jika diperlukan.
Katanya, kerjasama erat antara penganjur, JPJ, PDRM dan agensi teknikal berkaitan amat penting bagi memastikan acara permotoran berskala besar itu berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.
“Sesi ini menjadi platform strategik bagi membincangkan aspek keselamatan jalan raya dan langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, khususnya bagi penganjuran acara permotoran berskala besar.
“JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.
“Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, JPJ juga akan meneruskan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang bagi memastikan setiap penganjuran acara permotoran mengambil kira aspek keselamatan secara menyeluruh.





