
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Washington mempunyai kawalan penuh terhadap Selat Hormuz, selain memberi bayangan tentera negara itu mungkin terus mengekalkan kehadiran di laluan air strategik berkenaan.
“AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya fikir kita akan mengekalkannya,” katanya dalam Social Truth.
Beliau turut menyifatkan sekatan tentera laut yang dilaksanakan di laluan berkenaan sebagai ‘tembok keluli’, sambil mendakwa Iran tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya.
“Tiada apa yang boleh dilakukan Iran mengenainya,” katanya.
Menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), setakat Rabu, tentera negara itu melencongkan 59 kapal dagang, selain melumpuhkan tiga kapal dan menaiki dua kapal lain bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap sekatan yang dilaksanakan.
Trump dalam pada itu mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah dilumpuhkan susulan perkembangan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Ketegangan di rantau itu terus memuncak sejak tercetusnya perang AS-Israel terhadap Iran pada akhir Februari lalu.
Tehran dan Washington sehingga kini masih belum mencapai persetujuan muktamad bagi menamatkan konfrontasi, manakala penutupan Selat Hormuz terus memberi kesan terhadap rantaian bekalan tenaga global.
Pada Jun lalu, AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman sebelum memulakan rundingan bagi mencapai persetujuan muktamad untuk meredakan ketegangan.
Namun, rundingan berkenaan kemudiannya tergendala susulan perselisihan berkaitan jaminan keselamatan serta kebebasan pelayaran menerusi Selat Hormuz.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perairan paling strategik di dunia kerana menjadi laluan utama bagi pengangkutan bekalan tenaga dan perdagangan global.
Sebarang gangguan berpanjangan terhadap pelayaran di selat itu berpotensi memberi tekanan besar terhadap pasaran tenaga serta rantaian bekalan antarabangsa.







