
IPOH: Pengalaman luas Datuk Syafinaz Selamat dalam bidang muzik dan seni persembahan terus mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun mulai 1 Ogos lepas hingga 31 Julai 2028 manakala Syafinaz sebelum ini dilantik sebagai Profesor Adjung FMSP bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun lepas.
Beliau berkata pelantikan itu membuktikan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan pengalaman Syafinaz dalam bidang muzik dan seni persembahan, khususnya pembangunan bakat serta pendidikan muzik.
“Penglibatan tokoh industri seperti Syafinaz penting dalam memastikan pendidikan muzik mempunyai hubungan kukuh dengan perkembangan industri sebenar, sekali gus memberi pendedahan profesional lebih luas kepada pelajar.
“Pelantikan Syafinaz sebagai Profesor Adjung Tersohor FMSP merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam industri muzik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkayakan ekosistem akademik universiti,” katanya dalam kenyataan.
Md Amin berkata kerjasama antara akademia dan industri merupakan elemen penting dalam usaha UPSI melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu akademik, tetapi juga memiliki kemahiran praktikal, kreativiti dan nilai profesional yang diperlukan dalam industri kreatif.
Sementara itu, Dekan FMSP Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata Syafinaz memberikan sumbangan signifikan sepanjang tempoh pelantikan pertamanya menerusi pelbagai aktiviti akademik dan artistik yang melibatkan warga fakulti serta pelajar.
Beliau berkata antara penglibatan Syafinaz ialah sebagai penyelia bersama pelajar Doktor Falsafah (Persembahan Muzik), penceramah seminar The Fundamentals of Vocal Production serta pengendali Masterclass in Vocal Performance and Artistic Expression.
“Penglibatan beliau turut merangkumi pembangunan deVokalis Choir sebagai penasihat koir, Pengarah Artistik dan Penasihat Vokal Eksekutif menerusi program pembangunan profesional serta persembahan Harmonic Odyssey: A Decade of deVokalis Choir.
Muhammad Fazli berkata kepakaran Syafinaz turut dimanfaatkan dalam persediaan deVokalis Choir bagi menyertai Busan Choral Festival 2026, khususnya dalam aspek pembangunan vokal, interpretasi dan peningkatan kualiti persembahan.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Syafinaz berkata pelantikan semula itu merupakan satu penghormatan besar dan amanah yang akan dilaksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme serta integriti.
“Kepercayaan yang diberikan UPSI, khususnya FMSP turut memberi saya peluang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran sepanjang lebih tiga dekad dalam industri muzik,” katanya. -Bernama







