
KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertimbangkan untuk mengguna khidmat pakar forensik luar negara bagi membantu siasatan berkaitan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata siasatan itu melibatkan aspek pelaburan, dokumentasi perjanjian serta kontrak yang memerlukan penelitian forensik secara terperinci.
Beliau berkata penelitian turut merangkumi minit mesyuarat dan pelbagai dokumen berkaitan keputusan pelaburan yang dibuat.
“Dokumen yang terlibat dalam siasatan ini begitu banyak yang perlu dikaji dan diteliti. Dan usaha ini memerlukan penelitian khusus di samping kepakaran.
“Perbincangan melantik pakar forensik ini juga tertakluk kepada kos terlibat. Pakar forensik ini juga akan bekerjasama dengan pegawai pakar yang kami ada di SPRM,” katanya.
Sementara itu, Abd Halim berkata sehingga hari ini, SPRM telah membuka 14 kertas siasatan serta melaksanakan beberapa tindakan operasi termasuk tangkapan, reman dan sitaan.
Beliau berkata siasatan itu melibatkan pemeriksaan dan penggeledahan di 28 premis.
“Sebanyak 115 orang saksi dipanggil untuk ditemu bual dan dirakam keterangan mereka di Pejabat SPRM, manakala tujuh orang suspek telah ditahan dan lima daripada mereka direman,” katanya. – BERNAMA




