
PUTRAJAYA: Sektor agrikomoditi menyumbang RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, meningkat 4.01 peratus berbanding RM87.46 bilion pada tahun 2024.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pencapaian itu membuktikan sektor agrikomoditi mempunyai asas kukuh serta terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau berkata pencapaian berkenaan tidak seharusnya menjadikan semua pihak selesa kerana prestasi sektor berkenaan sentiasa dipengaruhi keadaan pengeluaran, harga pasaran dan perkembangan ekonomi global.
“Pencapaian tahun 2025 tidak boleh menjadikan kita selesa. Sebaliknya, pencapaian tersebut perlu menjadi asas untuk kita bekerja dengan lebih tersusun bagi mengekalkan momentum, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor agrikomoditi terus memberikan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Santunan Bakti Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putra Hall A2, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 23 warga kerja KPK menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala empat warga kementerian yang bersara pada 2026 turut diraikan menerusi Santunan Bakti.
Noraini menambah, sektor pertanian turut mencatat pertumbuhan 2.6 peratus pada suku pertama 2026, disokong antaranya oleh prestasi subsektor kelapa sawit.
Katanya, anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan wujud tekanan terhadap sektor pertanian termasuk subsektor kelapa sawit.

“Sehubungan itu, KPK akan terus memperkukuh keseluruhan ekosistem agrikomoditi dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran, malah peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, pembangunan produk hiliran, peluasan pasaran dan peningkatan pendapatan pekebun kecil.
“Usaha itu merangkumi semua sektor di bawah kementerian termasuk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf yang masing-masing mempunyai kekuatan, cabaran serta peluang tersendiri.
“Kita juga perlu memperluas pasaran bagi produk agrikomoditi Malaysia, menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah,” ujarnya,
Dalam perkembangan sama, Noraini menjelaskan, kejayaan sektor agrikomoditi tidak terhasil dengan sendirinya, sebaliknya didukung usaha warga kementerian yang melaksanakan dasar, menyediakan kajian dan cadangan serta memastikan program dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata sumbangan warga kementerian amat penting dalam memastikan dasar dan program agrikomoditi memberi manfaat kepada industri, pekebun kecil, usahawan dan rakyat.







