
KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 134 saksi bagi melengkapkan siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah itu termasuk 10 saksi yang dipanggil baru-baru ini, termasuk beberapa individu yang pernah memberikan keterangan sebelum ini.
Menurutnya, saksi berkenaan terdiri daripada individu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan dan struktur organisasi TH.
“Kalau kita tengok laporan RCI itu, ada nama disebutkan di situ dan kita boleh agak siapa yang dipanggil.
“Kita tengok ada kakitangan dalaman, pemegang amanah, ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO),” katanya.
Rusdi berkata, polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu dipanggil untuk memberikan keterangan sekiranya diperlukan berdasarkan perkembangan siasatan.
Katanya, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha polis melengkapkan siasatan sebelum keputusan lanjut dibuat.
Beliau berkata, polis turut memerlukan keterangan 14 saksi di Indonesia berhubung dua kertas siasatan, khususnya berkaitan urusan pembelian dan penjualan saham serta syarikat berkaitan.
Menurutnya, permohonan sudah dibuat menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi mendapatkan keterangan semua saksi berkenaan.
“Kita memang sudah memohon. Jika mereka boleh datang ke Malaysia, kita akan ambil keterangan.
“Jika mereka tidak boleh datang, kita akan berusaha pergi ke sana atau menggunakan protokol undang-undang yang ada mengikut MLA,” katanya.
Rusdi berkata, setakat ini jumlah laporan polis yang diterima kekal sembilan, manakala lima kertas siasatan sudah dibuka berkaitan isu berkenaan.
RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 ditubuhkan pada 2021 sebelum enam pesuruhjaya yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, dilantik pada Januari 2022.
Laporan setebal 211 halaman itu mengemukakan 25 syor penambahbaikan selepas menemukan beberapa kelemahan, antaranya berkaitan tadbir urus, jurang defisit antara aset dengan liabiliti, isu rosot nilai pelaburan, transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat.
Laporan berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ogos 2022 sebelum diklasifikasikan semula dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Polis menerima sembilan laporan daripada TH, anak syarikatnya dan orang awam berkaitan dakwaan jenayah komersial, termasuk perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
Empat kertas siasatan dibuka pada peringkat awal sebelum satu lagi dibuka mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, menjadikan keseluruhannya lima kertas siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.






